Wednesday, August 6, 2008

Kerajaan Tiga Beranak

Apabila Ezam mengeluarkan kenyataan dalam akhbar harian Utusan Malaysia 27/06/08 bertajuk “Anwar amalkan nepotisme?” sudah pasti ada yang akan menafikannya, khususnya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Isteri tercinta dan anak kesayangan yang menjadi wakil rakyat juga akan mencari jalan untuk mengalihkan cerita ini.

Kita juga akan mula mendengar penafian-penafian daripada rakan sekongkol DSAI daripada DAP dan PAS. Itupun kalau kerjasama dan ikatan mereka kuat. RPK yang sedang hangat dengan ’statutory declaration’ beliau terhadap isteri YAB Dato’ Seri Najib juga akan mengeluarkan artikel untuk menutup pendedahan terbaru Ezam ini dengan membuat liputan yang menghentam beliau.

Bukan sesuatu yang baru bagi DSAI jika ingin dikaitkan dengan nepostisme Sebagai seorang yang memperlihatkan diri sebagai penentang nepostisme melalui PKR (itupun lepas beliau dipenjarakan), beliau sebenarnya telah lama pun mengamalkan bukan sahaja nepotisme bahkan kronisme dan salahguna kuasa semasa menjadi TPM Malaysia. Tun Mahathir, orang yang dikatakan telah menganiayai DSAI, telahpun membongkarkan sifat kerakusan DSAI.

IOI adalah contoh terbaik dalam mana beliau telah memastikan bapa mertua kesayangan beliau dilantik sebagai salah seorang Pengarahnya. Selain itu, Sdr Rahim Ghouse yang mendapat projek bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang, kisah Real Mild sebuah syarikat RM2.00, pemberian ’pink form’ kepada kenalan dan sahabat rapat beliau dan banyak lagi.

Apa yang kita nantikan adalah ’Perdana Menteri Menanti’ ini akan benar-benar menjadi PM ke 6 pada bulan September ini. Sekiranya terjadi, maka orang yang kuat mengeluarkan artikel mengenai ’Kerajaan Tiga Beranak’, Sdr Sang Kelembai (Zaharain), akan mati akal kerana selama ini beliau hanya melihat perkara ini pada sudut keluarga Pak Lah sahaja.

Sebenarnya DAP telahpun mempunyai dua keluarga yang mengamalkan konsep ’Kerajaan Anak Beranak’ ini. Namun mereka buat bodoh sahaja kerana tiada seorangpun yang mendedahkan hal ini termasuklah Sang Kelembai.

Tumpuan hanyalah kepada kerajaan BN sahaja. Maka sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara, kita akan mempunyai ’Kerajaan Anak Beranak Melayu, Cina Dan Benggali’. Sesuatu yang menyeronokkan kerana belum pernah terjadi di mana-mana negarapun. Malaysia Boleh! Pakatan Pembangkang Boleh! Boleh masuk ’Guiness Book Of World Record’.

Beginilah sikap pejuang-pejuang rakyat dalam pakatan pembangkang. Mereka hanya mengambil kesempatan dalam usaha untuk mendapatkan kuasa bagi kepentingan politik mereka sahaja.

Laungan anti nepotisme, kronisme dan salahguna kuasa tidak pernah lekang dari bibir mereka. Namun hari ini kita dapati baru tiga bulan lebih memerintah, kepentingan rakyat dikesampingkan setelah mendapat sedikit kuasa. Apa akan jadi sekiranya ’Kerajaan Anak Beranak’ pakatan pembangkang ini mendapat kuasa pemerintahan negara?

Rakyat akan tertipu dan menjadi mangsa permainan politik mereka. Apa yang pasti, janji mereka akan bertindak adil dan mengamalkan konsep samarata sebenarnya permainan mulut dan janji politik sahaja. Orang Melayu dan kaum Bumiputera akan tertinggal lebih jauh.

Mereka hanya mahukan kesamarataan dalam kuasa politik namun mereka tidak sanggup untuk memberikan hak sama rata kepada kuasa ekonomi yang dimiliki mereka selama ini......

No comments: