Friday, May 30, 2008

GPMS UiTM Gesa Hak Bumiputera Dikembalikan

Mengulas mengenai isu kenaikan peratusan penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kaum bukan bumiputera daripada 10 peratus kepada 45 peratus, dengan ini kami GPMS Caw Khas UiTM Malaysia Shah Alam membantah dengan sekeras – kerasnya dasar yang akan dilaksanakan oleh JPA tersebut. Tanpa dikaitkan dengan hak istimewa orang melayu(yang sudah pastinya dasar tersebut bertentangan dengan apa yang JPA lakukan) kami mengemukakan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh JPA :

1. Bilangan Profesional Setiap Kaum

Penghantaran pelajar Malaysia ke luar Negara adalah bertujuan untuk meramaikan lagi bilangan professional di kalangan rakyat Malaysia kerana hampir semua kursus yang ditawarkan adalah bidang profesional. Mengikut pecahan kaum, kaum bumiputera didapati mempunyai bilangan professional yang paling rendah peratusnya berbanding kaum lain walaupum membentuk majority rakyat malaysia. Pengurangan peratus bumiputera dalam pemberian biasiswa JPA menyebabkan bilangan professional bumiputera pada masa akan datang akan turut rendah peratusanya.

2. Status Keluarga

Adalah mengecewakan apabila golongan yang dikategorikan sebagai berada (daripada kalangan bukan bumiputera) turut layak untuk menerima biasiswa JPA. Sepatutnya mereka ini boleh menyambung pelajaran ke luar Negara dengan pembiayaan sendiri. Meritokrasi tidak boleh dijadikan alasan kerana sudah tentu orang yang lengkap keperluan belajarnya akan mempunyai prestasi akademik yang lebih baik berbanding dengan golongan yang kekurangan serba – serbi.

3. Penguasaan Ekonomi Kaum

Sejak merdeka terutamanya selepas peristiwa 13 Mei 1969 kerajaan telah mengubal pelbagai dasar atas tujuan untuk menyamaratakan agihan ekonomi antara kaum untuk memastikan Negara kekal stabil. Sehingga kini usaha yang dilakukan belum menampakkan hasil yang dikehendaki dengan penguasaan ekonomi bumiputera belum lagi melepasi 20 peratus berbanding 30 peratus yang disasarkan.Bilangan professional bumiputera seharusnya ditambah dengan agresif kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan penguasaan ekonomi (sekurang – kurangnya melepaskan keluarga professional tersebut daripada belenggu kemiskinan.) Antara langkah penambahan agresif adalah menambah bilangan penerima biasiswa JPA dab bukan menggurangkanya.

4. Jaringan dalaman kaum

Tidak dinafikan kaum bukan bumiputera mempunyai jaringan sokongan dalaman yang kukuh. Walupun tanpa bantuan kerajaan mereka masih mampu untuk menghantar pelajar – pelajar mereka ke luar negara melalui inisiatif persatuan, syarikat dan individu. Namun bagi kaum bumiputera jaringan seperti ini adalah amat kurang kerana faktor penguasaan ekonomi. Menyedari hakikat ini mengapa kerajaan masih mahu memberi bantuan biasiswa JPA kepada kaum bumiputera padahal pada mereka ianya adalah jalan pilihan sedangkan bagi bumiputera hampir mustahil untuk mereka mendapat peluang yang lain.

Sehubungan dengan itu kami mahu JPA menarik balik dasar tersebut. Selain itu GPMS UiTM menggesa agar kerajaan memberi peluang kepada semua palajar bumiputera yang layak untuk mengikuti kursus professional tanpa mengira kuota dan had. Kenyataan ini tidaklah wajar dianggap berbau perkauman kerana ianya adalah untuk kepentingan Negara.


Mohd Abd Rauf Tumiran
YDP GPMS Caw Khas UiTM Malaysia

Thursday, May 29, 2008

JANGAN BERMAIN API- Jangan Cabar KeTuanan Melayu

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghentikan perbuatannya mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana ia mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan orang Melayu di negara ini.

Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

Kit Siang tidak perlu sibuk-sibuk mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana tanah ini hak orang Melayu, jadi, tiada siapa yang berhak boleh mempertikaikannya.

Konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu jelas tercatat dalam sejarah dan tidak perlu diungkit-ungkit terutama oleh pihak pembangkang. DAP sengaja membangkitkan isu tersebut semata-mata ingin menarik perhatian rakyat dan pada masa sama tidak mempedulikan perasaan orang Melayu. Beliau menjelaskan, ketuanan Melayu bukan menganggap kaum lain sebagai hamba dan berlagak sebagai tuan seperti yang dianggap oleh DAP. Pembangkang amat jelas tidak memahami konsep tersebut.


Mahu Malaysian Malaysia Dilaksana

Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertikaikan Ketuanan Melayu hanya menggambarkan sikap berani melulunya mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini.

Tindakan bekas Setiausaha Politik Lee Kuan Yew itu bukanlah menghairankan kerana ia merupakan ideologi yang telah lama diperjuangkan oleh DAP sebelum ini.

Beliau tidak hairan dengan tindakan Lim Kit Siang dan DAP yang menolak ketuanan Melayu. Ia semakin jelas dan sikap berani melulu Penasihat DAP yang mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini.

Apa yang menghairankan ialah terdapat orang Melayu yang seia sekata dengan Kit Siang termasuk mereka yang menjunjung pakatan pembangkang. Mereka begitu dangkal hanya melihat ketuanan Melayu semata-mata dalam konteks Perlembagaan negara sedangkan apa yang diperjuangkan oleh DAP ialah perjuangan ideology.

Beliau berharap agar orang Melayu yang terpengaruh dengan Kit Siang kembali sedar dengan permainan beliau itu. Perkara ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia telah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang dikatakan oleh Kit Siang itu adalah tidak wajar kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan.

Apa yang diperjuangkannya kini adalah ideologi berterusannya dan akhirnya nanti kedudukan hak-hak istimewa orang-orang Melayu akhirnya turut dipersoalkan. Ini apa yang kita lihat sekarang seperti bidang kuasa raja-raja dalam pentadbiran Islam dan saya tidak bimbang mereka juga mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Monday, May 26, 2008

Bangunkan P. Pisang - Bagi menjamin status kedaulatan pulau milik Malaysia

Pemandangan Pulau Pisang dari udara, terletak di perairan Johor, kira-kira 20 kilometer dari Pontian. Bulatan menunjukkan rumah api yang diurus oleh Singapura sebagaimana di Batu Putih

Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.

Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu. Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia.

Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar. Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.

Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan. Sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.

Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih. Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.

Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup. Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.

Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api. Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor.

Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.

Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya. Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai. Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau.

Wednesday, May 21, 2008

SEKILAS PANDANG : Reaksi bila Tun Mahathir keluar UMNO

Hishammuddin Hussein minta pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO perlu mengutamakan parti daripada kepentingan bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hishammudin menegaskan, pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO harus mematuhi prinsip tersebut untuk meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu ataupun kepentingan kedua-dua pemimpin tersebut.

Beliau sedih keadaan ini apabila Dr. Mahathir keluar parti tetapi sebagai pemimpin Pemuda UMNO, kita perlu memperkukuhkan semula parti dan bergerak kehadapan.

Rafidah Aziz pula menegaskan, tindakan Dr. Mahathir itu merupakan hukuman kepada UMNO atas isu yang tidak disenangi beliau. Beliau tidak menyangka Dr. Mahathir akan bertindak begitu memandangkan bekas PM itu sendiri yang telah mengajar ahli-ahli parti agar setia dan patuh kepada parti.

Tindakan Dr. Mahathir ini jelas bahawa beliau tidak patuh kepada semangat perjuangan parti apabila telah keluar dari UMNO. Kalau beliau ingin memperbaiki dan memulihkan parti atau apa sahaja sepatutnya dibuat dari dalam bagi kebaikan UMNO.

Rais Yatim berkata, pelbagai pihak di negara ini diminta tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan memberikan reaksi keterlaluan terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO, sebaiknya sekarang perkara itu harus dibiarkan 'terapung sebentar' sementara kaedah penyelesaian terbaik difikirkan agar Melayu dan UMNO tidak rugi pada akhirnya.

Kita tak boleh bertindak tergesa-gesa dan jangan sakiti hati mana-mana pihak kerana masing-masing ada pengikut dan pengaruh. Dalam politik apa pun boleh berlaku, jadi jangan terlangsung sangat buat kenyataan hingga merugikan bangsa Melayu dan UMNO sendiri. Ini bermakna para veteran dan muda perlu dinginkan fikiran masing-masing dan tidak jadi juara secara musang berjanggut, ertinya tidak berpura-pura.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, semangat perjuangan UMNO boleh dipulihkan dengan memberi kuasa kepada ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi dalam menentukan pemimpin mereka.

Ini bagi memastikan individu yang dipilih bagi menerajui UMNO boleh diterima segenap lapisan ahlinya dan bukan hanya oleh kumpulan tertentu dalam parti berkenaan. Semangat perjuangan UMNO ini perlu dibaiki supaya ia dapat ditanam balik ke dalam sanubari ahli UMNO lain. Kalau pulangkan balik kuasa kepada ahli-ahli UMNO, saya yakin ini akan selamatkan parti ini.

DS Mohd. Shafie Apdal berkata, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam tidak sewajarnya menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO bagaikan ‘duri dalam daging sudah terkeluar’. Ini kerana sumbangan bekas Presiden UMNO itu kepada parti sungguh besar dan beliau juga banyak berjasa kepada pembangunan negara. Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan kerana Dr. Mahathir merupakan seorang negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Perkara ini memang tidak boleh kita nafikan.

Jangan pandang rendah ancaman siber

PM kata, setiap kerajaan tidak harus memandang rendah terhadap ancaman siber kerana kesannya boleh membawa mudarat kepada kehidupan manusia. Tambahnya, ancaman siber mampu merosakkan sistem dan infrastruktur sesebuah negara dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian, kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi.

Dengan mengambil contoh negara Estonia iaitu salah sebuah nagara yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Eropah, beliau berkata, pada tahun lepas, negara itu telah mengalami ancaman siber yang serius selama tiga minggu.

‘‘Dalam tempoh tersebut sistem rawatan air negara berkenaan terganggu, sistem bank tergendala dan dalam masa yang sama ancaman (siber) itu juga telah menyerang sistem operasi agensi-agensi kerajaan. Ia berlaku tanpa amaran atau penjelasan. Semakin hebatnya sesebuah negara dalam bidang ICT, semakin mudah sistem itu dirosakkan oleh ancaman siber,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Sedunia, Institut Kerjasama Antarabangsa Pelbagai Hala Membanteras Keganasan Siber (IMPACT).

Berbanding jenayah Internet, kesannya tidak sehebat ancaman siber kerana ia hanya membabitkan ujian identiti dan penipuan kewangan sahaja. Menjelaskan mengenai ancaman siber, Abdullah berkata, perkara tersebut boleh dirancang dan dilakukan dari mana saja di dunia ini.

‘‘Inilah bahayanya ancaman siber. Orang yang melakukannya tidak semestinya berada di negara sasaran. Mereka boleh berada di mana-mana sahaja di dunia ini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap semua anggota IMPACT dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat supaya mereka dapat mencari satu penyelesaian yang berkesan dalam usaha membanteras ancaman siber daripada terus berleluasa.

‘‘Memandangkan jaringan Internet boleh melangkaui sempadan tanpa mengira negara dan negeri hingga menyebabkan dunia terdedah dengan ancaman ini (siber), mahu tidak mahu semua pihak perlu bekerjasama. Tidak kira sama ada pihak kerajaan, swasta, golongan akademik, pakar dan individu, kita perlu berganding bahu melindungi sistem kita daripada terus menerima ancaman siber. Oleh itu, bagi saya persidangan ini amat penting,’’ tambahnya.

Sementara itu Abdullah berkata, sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap penubuhan IMPACT, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$13 juta (RM42.2juta) sebagai geran kepada institusi itu.

‘‘Sebahagian besar geran tersebut akan digunakan untuk membina ibu pejabat sekretariat IMPACT di Cyberjaya yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini,’’ ujarnya

Sunday, May 18, 2008

Kembalikan Kekuatan Orang Melayu 62 Tahun Yang Lalu


Sumber: www.pemuda.com.my

Orang Melayu hari ini berada di persimpangan dan di dalam satu dilemma yang amat menakutkan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis.

Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia?

Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan jadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa?

Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan mengigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak perduli terhadap Melayu lagi?

Pada 11 Mei, 62 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di negara ini.

Pada ketika itu ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu.

Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden.

Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja.

Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara.
Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu serta budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Yang menyedihkan apabila selepas 62 tahun ia ditubuhkan dan setelah 51 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi terutamanya oleh golongan muda Melayu.

Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan.

Ianya dapat dilihat dengan jelas didalam keputusan PRU ke – 12 yang lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?

Namun sejak akhir-akhir ini apabila terdapat bibit-bibit perpecahan di antara orang Melayu, sudah ada yang berani mengambil kesempatan. Terbaru apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mengambil tindakan mempersoalkan siapa penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Sultan Perak ada kaitan dengan kelemahan pada parti Melayu itu.

Ia seolah-olah mengulangi senario pada 1946 apabila Inggeris merampas kuasa raja-raja dan hak Melayu dengan membentuk Malayan Union. Orang Melayu dan UMNO sepatutnya bangkit membantah dan mendesak supaya Karpal Singh menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kapada Sultan dan Raja-raja Melayu.
Yang menjadi persoalan sekarang mengapa para pemimpin Pas dan PKR diam membisu. Sikap berdiam diri para pemimpin Pas berhubung isu Karpal mengkritik sultan juga menunjukkan pendirian mereka yang tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu.

Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Adakah nasib Melayu boleh diletakkan di bahu mereka yang mana kalau dilihat daripada peratus pemimpin Melayu mereka tak sampai separuh? Berapa ramai anggota IFC (Interfaith Commission) terdiri daripada pemimpin PKR?

IFC ditubukan dengan matlamat meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam. Adakah orang-orang Melayu Islam di dalam PKR tahu dan sedar akan perkara ini wujud di dalam PKR. Bolehkan PKR mengambil alih peranan UMNO untuk membela nasib orang Melayu?

Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran sebarang kenyataan rasmi daripada pemimpin parti terbabit yang seolah-olah merestui tindakan tersebut. Adakah disebabkan DAP adalah ahli keluarga Pakatan Rakyat, maka adalah lebih baik bagi mereka mengambil pendirian berkecuali.

Adakah mereka sanggup melihat Raja-Raja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan hanya menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka barulah mereka bertindak sesuatu.
Adakah untuk menjaga hati DAP mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri. Sepertimana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP.

Yang paling ketara adalah Pas apabila sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihanraya yang lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu.

DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada PRU-12 yang lepas. Dan apabila melihat Islam ditindas oleh barat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan melihat orang Melayu Islam sedang berpecah dan kerajaan semakin lemah, ada pula dari pihak Gereja mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan untuk menggunakan perkataan Allah di dalam bulletin mereka.

Jelas dapat dilihat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan apabila Islam berjaya dilemahkan. Terbaru apabila pihak Gereja Katolik Malaysia berjaya di dalam tuntutan mereka apabila mahkamah membenarkan mereka untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.

Hakim juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kapada agama Islam.
Bayangkan sejak kita lahir kita diajar menyebut dan mengenali Allah Taala dengan lebih dekat, tiba-tiba ada pula agama lain mahu menggunakan nama yang sama dengan Agama Islam.

Walaupun mereka mengatakan pihak Kristian di arab menggunakan nama Allah, tetapi itu di Arab dan bukannya di Malaysia. Tak ke janggal namanya. Tidak ke pihak gereja katolik tahu yang Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Tidak ke tuntutan mereka mengguris perasaan umat Islam di Malaysia. Mengapa sekarang mereka membuat tuntutan itu? Mengapa umat Islam Malaysia berdiam diri apabila Islam dihina sedemikian rupa dengan mempermain-mainkan nama Tuhan yang maha esa. Di manakah anda pejuang-pejuang Islam tidak kira dari parti politik mana pun. Tidak kira apapun tuntutan mereka sama ada IFC ataupun pihak gereja katolik demi memastikan kedaulatan Islam itu utuh ditanah air kita, sama-samalah kita bersatu menentang apa jua bentuk penindasan terhadap Agama Islam yang maha mulia ini.

Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu yang beragama Islam untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.
Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.
Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita mempastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca.

Untuk tidak kehilangan arah, dan supaya tidak kehilangan punca, makanya perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama.
Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa "hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah".

Friday, May 16, 2008

Cabaran Dari Parlimen: Azmin cabar Rahman buktikan dakwaan disogok

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mencabar Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuktikan dakwaannya bahawa pembangkang menawarkan sogokan lumayan supaya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti.

Beliau berkata, dalam hal ini Abdul Rahman diminta jangan hanya sekadar bercakap sebaliknya bukti perlu dikemukakan tentang bila, siapa dan jumlah yang ditawarkan.

''Buktikanlah.. bercakap siapa pun boleh bercakap... saya cabar Kota Belud buktikan jumlahnya, tarikhnya dan siapa orang perantara yang disebut itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu ditanya apakah Ahli Parlimen Kota Belud itu termasuk dalam senarai mereka yang akan menyertai pembangkang, Azmin berkata: ''Kota Belud..? Dia perasan saja.. Kita (PKR) tak perlu orang yang bercakap soal wang dan rasuah.

''Pada kita mana-mana Ahli Parlimen BN yang bercakap tentang ganjaran kewangan untuk mereka menyertai pembangkang, kita akan keluarkan nama mereka dari senarai termasuk dari Kota Belud jika ada."

Sementara itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menegaskan pakatan pembangkang tidak akan sesekali beri sogokan kewangan.

''Mereka (UMNO) ingat kita tawarkan rasuah dalam hal ini (melompat parti) kerana itulah amalan mereka selama ini," katanya.

''Kita hanya menawarkan satu bentuk pakej pembangunan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Sarawak. Siapa yang tidak mahu tawaran royalti minyak 20 peratus berbanding hanya lima peratus oleh BN," ujarnya.

Sementara itu, Azmin menegaskan, PKR akan tetap membangkitkan isu penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat Sukhoi walaupun Kementerian Pertahanan telah menjawab persoalan itu di Parlimen semalam.

Katanya, ia berikutan beliau sendiri tidak berpeluang untuk bertanyakan soalan tambahan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu sesi penggulungan.

''Ini terutama berhubung percanggahan jawapan di antara bekas Timbalan Menteri Pertahanan pada penggal Parlimen yang lalu dengan jawapan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri semalam berhubung soal pemberian komisen pembelian Scorpene.

''Semalam Najib jelaskan tidak ada komisen tetapi Timbalan Menteri pada masa itu kata komisen diberi. Jadi saya tetap tidak puas hati dengan jawapan itu," jelasnya.

Thursday, May 15, 2008

BPR diminta siasatan parti pembangkang yang memberi habuan

Badan Pencegahan Rasuah (BPR) diminta melakukan siasatan terhadap parti pembangkang yang dikatakan memberi habuan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sedia melompat parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, tawaran seumpama ini jelas menunjukkan wujudnya unsur "rasuah".

Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kes ini perlu disiasat bagi memperjelaskan kepada rakyat, perkara yang sebenarnya berlaku.

Beliau merujuk kepada berita yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan semalam dan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah yang mengaku dipujuk oleh "duta kecil" pembangkang supaya melompat parti dengan tawaran kewangan sehingga boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi keluarga Ahli Parlimen yang berpaling tadah.

Datuk Seri Mohd Ali ditemui di Ayer Keroh Melaka selepas meninjau perkembangan pembinaan Hotel Way.

‘Cukup untuk hidup senang-lenang 3 generasi’

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, jumlah yang ditawarkan untuk beliau melompat menyertai parti pembangkang sangat besar hingga cukup untuknya “hidup senang-lenang sehingga tiga generasi.” Beliau berkata, jumlah sebenar yang ditawarkan oleh ‘utusan’ khas yang dihantar untuk bertemunya itu hanya akan didedahkan bila tiba masa yang sesuai.

“Utusan ini pun kawan-kawan juga. Saya tak mahu kata ia diutuskan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi secara umum tak salah untuk beranggapan begitu kerana beliaulah yang beria-ia hendak tubuhkan kerajaan. Ada dua kali mereka berjumpa saya iaitu minggu lalu dan minggu sebelumnya,” kata Abdul Rahman kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Mereka datang jumpa kita kata hendak tubuh kerajaan yang bebas rasuah, tapi dalam pada itu mereka tawarkan habuan pula kepada kita. Bukankah itu sendiri satu bentuk rasuah?”.

Khabar dari Parlimen: Projek Agropolitan Bantu Hapus Kemiskinan Tegar

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, projek Agropolitan di seluruh negara yang melibatkan peruntukan RM1.12 billion diharap dapat menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Projek itu akan melibatkan 10,000 peserta di kawasan seluas 35,044 hektar tanah.

"Projek Agropolitan ini bertujuan untuk menghapuskan sama sekali kemiskinan tegar, oleh itu peserta akan dipilih oleh kerajaan negeri dan akan ditentukan syaratnya bahawa peserta ini adalah yang berpendapatan rendah, kurang daripada RM300 sebulan.

Muhammad berkata projek itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pulau Banggi, Sabah tahun lepas dengan perbelanjaan kira-kira RM167 juta melibatkan 1,200 peserta dengan keluasan 4,132 hektar kawasan. Di Sarawak pula, kerajaan akan berbelanja RM121.95 juta menghimpunkan 1,000 peserta di kawasan seluas 4,132 hektar," katanya.

Wednesday, May 14, 2008

BILA AHLI PARLIMEN BN JUGA CUBA ‘DIRASUAH’

Hari ini, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen BN-Kota Belud mendakwa beliau telah ditawarkan sejumlah besar wang untuk melompat ke parti pembangkang. Tawaran melalui satu panggilan telefon itu turut menjanjikannya jawatan dalam Kabinet. Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana perbuatan itu sangat tidak bermaruah. Pemimpin pembangkang berjanji untuk memberi habuan kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat.

Hebat penangan pakatan pembangkang ini. Tahniah juga buat Datuk Rahman yang menolak janji-janji pembangkang demi kerana maruah, apalah sangat dengan jawatan menteri kabinet tu.

Selama ini, pakatan pembangkang selalu menuduh UMNO dan BN yang mengamalkan rasuah serta tidak layak untuk menjadi kerajaan kelas pertama, sedangkan, pembangkang cuba mengabui mata rakyat kerana mereka sendiri mengamalkan rasuah.

Jelasnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dan membudayakan politik wang dalam UMNO Sabah.

Trend itu telah dipraktikkan semasa membeli undi untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO menentang Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Duit berbakul, projek dan borang merah jambu menjadi pelincir kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO.


SARANAN BLACK-40: Dakwaan ini amat berat, sehubungan dengan itu saya mencabar Datuk Rahman Dahlan untuk membuat laporan polis dan BPR bahawa Datuk telah cuba untuk ’dirasuah’ oleh pihak-pihak tertentu. Datuk kena buktikan dakwaan Datuk itu, kalau tak dakwaan tu sekadar cuba mencari publisiti murahan sahaja.

Sunday, May 11, 2008

MELAKUKAN PENGORBANAN VS MELAKUKAN TUNTUTAN

Artikel dari: www.kkamdias.blogspot.com

Oleh: Kamarulzaman Kamdias

Konsep dan falsafah pembentukan negara Malaysia yang terbentuk pada hari ini, terhasil dari perkembangan tamadun bangsa dan rakyat yang menghuni negara ini sejak turun temurun.

Pemimpin pelbagai kaum memainkan peranan cukup besar di dalam proses pembinaan negara bangsa yang bernama Malaysia. Kompleksiti dari segi kepelbagaian kaum, budaya, adat resam dan kepercayaan yang berbeza adalah faktor penting yang membezakan negara Malaysia dengan lain-lain negara.

Di Indonesia, walau pun wujud kepelbagaian etnik tetapi masih di dalam lingkungan rumpun melayu dan kaum cina tidaklah sebesar mana pun bilangannya.

Di Malaysia kepelbagaian rumpun melayu tetap wujud, tetapi tidak ketara perbezaan budaya dan kepercayaannya. Rata-rata sudah difahami dan dimaktubkan dalam perlembagaan bahawa melayu itu islam dan islam itu melayu.

Kaum pribumi di New Zealand dan di Amerika sudah menjadi minoriti, manakala kaum melayu di Malaysia merupakan kaum majoriti. Maka kes ini tidak boleh dibuat perbandingan samada dari segi peruntukan kuasa mahupun keistimewaannya.

Kaum cina dan India telah ‘didatangkan’ ke ‘archipalego’ melayu, dan tidak boleh disamakan dengan sifat kepelbagaian kaum dan kabilah yang menduduki tanah arab suatu ketika dulu. Kaum dan kabilah yang ada di tanah arab sama-sama menjadi pribumi di tanahairnya, dan bukan ‘didatangkan’ seperti keadaan yang berlaku di archipalego melayu raya.

Kaum Pakistan, India dan Bangladesh yang bermastautin di United Kingdom tidak sama cara kedatangannya dengan kaum cina dan India ke negara ini. Mereka menjadi penduduk tetap setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh negara tersebut.

Kaum cina dan India di Malaysia pula dianugerahkan taraf penduduk tetap atau warganegara bukan kerana mereka memohon, tetapi secara ‘en-block’ kerana penjajah British menjadikannya sebagai sebahagian dari syarat untuk membolehkan negara ini diberi kemerdekaan.

Perbandingan dua peristiwa ini amat berbeza fakta dan realitinya. Maka sebarang perbandingan dari segi status, hak-hak kesamarataan, hak-hak istimewa dan segala peruntukan dan perlindungan yang diberi oleh perlembagaan terhadap kaum dan rakyat di negara ini tidak boleh disama atau dibayangkan sama dengan kes-kes kaum mendatang seperti di UK.

Keistimewaan yang diperolehi oleh kaum cina dan India yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah satu kes yang ‘unprecedented’. Tidak ada sampel terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan. Itulah ‘hak keistimewaan’ yang telah dilindungi oleh perlembagaan negara kepada kaum cina dan India di Malaysia. Ia tidak boleh disentuh dan dipertikaikan lagi walau mengalir air mata darah sekali pun. Hak keistimewaan ini hanya diperolehi oleh kaum yang didatangkan ke Tanah Melayu yang lahir di negara ini sebelum tarikh kemerdekaan. Hak keistimewaan ini tidak akan diperolehi di mana-mana pun di seluruh pelusuk dunia ini.

PERSOALAN TIMBUL! Kenapa perkara ini boleh terjadi? Tidak lain dan tidak bukan, kerana wujudnya ciri-ciri dan budaya tolarensi yang amat tinggi dari penduduk pribuminya. Pengorbanan dari segi tolarensi penduduk pribumi ini juga merupakan ‘unprecedented case’. Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun dunia suatu bentuk budaya tolarensi seperti mana yang telah dibuktikan oleh orang melayu. Mereka sanggup menyerahkan sebahagian dari hak mereka kepada orang lain demi untuk membina sebuah negara yang aman, bebas dan merdeka.

Kalau ada pun ‘precedented case’ adalah peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya ke Madinah, di mana penduduk Madinah telah memberi sebahagian dari kehidupan dan hak mereka kepada kaum muhajirin yang berhijrah dari Mekah. Itulah ketinggian nilai hidup dan budaya yang telah dibuktikan oleh orang melayu yang sanggup melakukan pengorbanan setaraf dengan pengorbanan kaum Ansar Madinah.

Mungkin inilah amalan murni tertinggi orang melayu yang dipandang Allah swt sehingga negara kita hari ini sentiasa dilindungi dari malapetaka dan kemusnahan sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara.

Maka, sebagai satu nasihat, seruan, peringatan dan amaran untuk semua PEMIMPIN KAUM yang telah berkongsi kehidupan di negara ini… fahamilah fakta dan realiti sejarah yang telah mengevolusikan kehidupan kita hingga ke tahap yang ada pada hari ini. Jangan cuba lari dari fakta hanya disebabkan sejarah dan realiti yang telah termaktub itu tidak memberi kelebihan kepada anda ke arah proses untuk menguasai pemerintahan negara ini.

Perlembagaan yang telah digubal bukan sahaja melindungi hak keistimewaan orang melayu, bahkan telah melindungi hak keistimewaan semua kaum termasuk kaum cina dan India.

Orang melayu tidak pernah menyesal dengan apa yang telah mereka korbankan. Orang melayu juga mengakui hakikat kelebihan kaum lain dalam bidang-bidang tertentu. Orang melayu juga mengakui hakikat tidak harus wujud peminggiran dan diskriminasi kaum di dalam sebuah negara yang demokratik dan bebas. Orang melayu juga terlebih-lebih faham bahawa kaum cina dan India juga adalah sebahagian dari warganegara Malaysia.

Orang melayu memang kaum yang amat memahami dan paling bertolarensi. Orang melayu telah buktikannya dari dulu lagi. Orang melayu juga ingin lihat kaum lain bersedia untuk berkorban dan bertolarensi seperti mereka demi membina sebuah negara yang berjaya.

Apa yang orang melayu lakukan hari ini, hanyalah mempertahankan baki hak keistimewaan yang masih ada, kerana keistimewaan selebihnya telah pun diserah dan sebahagian lagi telah dikongsi bersama dengan kaum lain.

Orang melayu 'melakukan pengorbanan' ke atas sebahagian hak-hak mereka agar dapat dikongsi bersama dengan adil dan seimbang dalam pembinaan sebuah negara. Pemimpin kaum cina dan India 'melakukan tuntutan’ agar kekayaan dan segala hak-hak yang ada sebagai rakyat diberi secara adil dan samarata. ‘Melakukan pengorbanan’ dan ‘melakukan tuntutan’ dalam membina negara adalah 2 perjuangan yang sama sekali berbeza mauduknya.

Pertembungan ini adalah pertembungan di antara 2 budaya. Budaya melayu yang nasional sifatnya tetapi telah ditafsir sebagai perkauman, dengan budaya yang digambarkan sebagai nasional tetapi perkauman sifatnya…!

'Melakukan pengorbanan' bermakna perkara itu telah benar-benar berlaku dan yang dikorbankan itu telah terlepas dari tangan. 'Melakukan tuntutan' pula bermakna keinginan kepada sesuatu perkara yang belum tercapai atau sudah tercapai tetapi masih belum berpuas hati. Apa akan terjadi kepada baki hak dan keistimewaan orang melayu jika golongan yang 'melakukan tuntutan' terus berkeinginan kepada baki hak-hak tersebut? Apakah orang melayu boleh melakukannya lagi?

Ada yang berkorban demi negara dan rakyat, ada juga yang menggunakan slogan demi negara dan rakyat tetapi sebenarnya untuk kelompok dan kaum. Janganlah berbohong.

Sunday, May 4, 2008

JANGAN KOMPROMI- UMNO digesa tidak terus tunduk pada tuntutan jejas kuasa, hak Melayu

Apa jua usaha memulihkan kembali Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO hendaklah dilakukan tanpa kompromi terhadap kuasa dan hak Melayu.

Beberapa peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang ditemui berpendapat UMNO tidak perlu terus tunduk kepada permintaan rakan komponen BN yang lain kerana tuntutan-tuntutan itu tidak akan berakhir.

Setiausaha Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 sedang menyaksikan politik toleransi mengambil tempat dalam BN.

“UMNO dalam BN akan tawar-menawar (dengan komponen lain). Semasa UMNO kuat, ia mampu pertahan semua milik Melayu, tetapi banyak perkara berlaku dalam masa UMNO tidak kuat.

“MIC dan MCA secara terbuka meminta pelbagai perkara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu pun cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Kongres Permuafakatan Melayu, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, sesetengah orang melihat usaha memulihkan kembali BN pada masa ini mungkin boleh dilakukan dengan mendengar tuntutan kaum Cina dan India.

Bagaimanapun katanya, sebahagian besar tuntutan itu mungkin bertentangan dengan hak dan keistimewaan orang Melayu.

“Tuntutan akan terus berlaku atas kepentingan kaum,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memohon maaf oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu keris Panca Warisan baru-baru ini juga secara tidak langsung memperlihatkan hak Melayu terhakis akibat tekanan dan permintaan daripada kaum lain.

“Ini semua berlaku (permohonan maaf) di kala tuntutan semakin kuat dan kita terperangkap dalam tuntutan-tuntutan itu,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman pula berkata, apabila ada kompromi dalam perkara-perkara pokok hak Melayu, maka lama-kelamaan hal-hal kecil pun akan dituntut.

“Ini hanya meletakkan orang Melayu dalam keadaan tidak selesa dan menjadikan mereka tidak penting lagi walaupun orang Melayu adalah kaum asal di negara ini.

“Malaysia bukan negara imigran seperti Amerika Syarikat. Maka hak penduduk asal tidak boleh dipersoalkan,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Anak- anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Al Habshee berpendapat, perlu ada usaha untuk mendidik generasi muda pelbagai kaum di negara ini mengenai pengertian sebenar kontrak sosial.

“Pendidikan kita tidak menekankan hal-hal berkaitan kontrak sosial dan ini perlu diajar supaya mereka mengetahuinya,” katanya.

Katanya, apabila kaum bukan Melayu memahami kontrak sosial berkenaan, maka tidak akan wujud permintaan-permintaan yang luar biasa dalam apa-apa keadaan sekalipun. –
(Utusan Malaysia, 4 Mei 2008)

Saturday, May 3, 2008

Peralihan sokongan tidak jejas kedaulatan

KEDAULATAN politik Melayu atau 'Malay Polity' di negara ini, tidak tercabar dengan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno seperti yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Kedaulatan politik Melayu akan terus utuh selagi teras pemerintahan negara bertuankan Melayu dan terus mempertahankan Raja Melayu sebagai simbol kerajaan Melayu.

Sehubungan itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata orang Melayu tidak mengira parti politik, perlu terus memastikan keupayaan untuk mempertahankan kekuatan Melayu memerintah negara.

Beliau berkata, pilihan raya umum lalu bukan saja menyaksikan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno malah parti politik lain, termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan orang Melayu hanya mempunyai 124 kerusi Parlimen saja selepas dicampurkan kerusi yang dimiliki Umno, Pas, PKR serta parti dari Sarawak.

“Bilangan ini tidak mencerminkan langsung negara ini sebagai negara yang berteraskan Melayu," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Politik Melayu‘ pada Kongres Permuafakatan Melayu di sini, semalam.

Kongres selama tiga hari yang bertema 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa‘ itu dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Mengulas lanjut mengenai kemerosotan sokongan terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN), Mohammad Agus berkata, orang Melayu sedar Umno adalah parti politik dan mendukung kedaulatan politik Melayu dalam perjuangannya apabila ia ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, perubahan sikap pemimpin Umno pada masa kini, yang sombong dan menjarakkan diri dengan masyarakat selain gagal menangani manifesto pembangkang menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan dengan Umno.

Katanya, walaupun kerajaan mengambil langkah segera dengan mengumumkan pelbagai pakej bagi menarik semula sokongan rakyat, pemimpin perlu sedar bahawa rakyat mahu melihat kesan daripada segala pengumuman bukannya memahami apa yang berlaku, seperti dalam isu kenaikan harga minyak.

“Umno perlu sedar mereka tidak boleh sombong dengan orang Melayu kerana ia hanyalah sebuah parti, boleh datang dan pergi. Pemimpin Umno perlu bertindak segera mengubati parti ini, ia perlu membina semula imejnya, menyusun kembali kaedah pengurusan maklumat dan media yang dikuasainya, memperbetulkan semula kedudukannya supaya sesuai dengan tuntutan semasa rakyat dan mengubah semula strategi menawan hati rakyat,” katanya.