Wednesday, May 21, 2008

SEKILAS PANDANG : Reaksi bila Tun Mahathir keluar UMNO

Hishammuddin Hussein minta pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO perlu mengutamakan parti daripada kepentingan bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hishammudin menegaskan, pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO harus mematuhi prinsip tersebut untuk meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu ataupun kepentingan kedua-dua pemimpin tersebut.

Beliau sedih keadaan ini apabila Dr. Mahathir keluar parti tetapi sebagai pemimpin Pemuda UMNO, kita perlu memperkukuhkan semula parti dan bergerak kehadapan.

Rafidah Aziz pula menegaskan, tindakan Dr. Mahathir itu merupakan hukuman kepada UMNO atas isu yang tidak disenangi beliau. Beliau tidak menyangka Dr. Mahathir akan bertindak begitu memandangkan bekas PM itu sendiri yang telah mengajar ahli-ahli parti agar setia dan patuh kepada parti.

Tindakan Dr. Mahathir ini jelas bahawa beliau tidak patuh kepada semangat perjuangan parti apabila telah keluar dari UMNO. Kalau beliau ingin memperbaiki dan memulihkan parti atau apa sahaja sepatutnya dibuat dari dalam bagi kebaikan UMNO.

Rais Yatim berkata, pelbagai pihak di negara ini diminta tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan memberikan reaksi keterlaluan terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO, sebaiknya sekarang perkara itu harus dibiarkan 'terapung sebentar' sementara kaedah penyelesaian terbaik difikirkan agar Melayu dan UMNO tidak rugi pada akhirnya.

Kita tak boleh bertindak tergesa-gesa dan jangan sakiti hati mana-mana pihak kerana masing-masing ada pengikut dan pengaruh. Dalam politik apa pun boleh berlaku, jadi jangan terlangsung sangat buat kenyataan hingga merugikan bangsa Melayu dan UMNO sendiri. Ini bermakna para veteran dan muda perlu dinginkan fikiran masing-masing dan tidak jadi juara secara musang berjanggut, ertinya tidak berpura-pura.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, semangat perjuangan UMNO boleh dipulihkan dengan memberi kuasa kepada ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi dalam menentukan pemimpin mereka.

Ini bagi memastikan individu yang dipilih bagi menerajui UMNO boleh diterima segenap lapisan ahlinya dan bukan hanya oleh kumpulan tertentu dalam parti berkenaan. Semangat perjuangan UMNO ini perlu dibaiki supaya ia dapat ditanam balik ke dalam sanubari ahli UMNO lain. Kalau pulangkan balik kuasa kepada ahli-ahli UMNO, saya yakin ini akan selamatkan parti ini.

DS Mohd. Shafie Apdal berkata, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam tidak sewajarnya menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO bagaikan ‘duri dalam daging sudah terkeluar’. Ini kerana sumbangan bekas Presiden UMNO itu kepada parti sungguh besar dan beliau juga banyak berjasa kepada pembangunan negara. Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan kerana Dr. Mahathir merupakan seorang negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Perkara ini memang tidak boleh kita nafikan.

No comments: