Wednesday, April 30, 2008

BILA SYED ALI NAIK ANGIN- JAWATAN TAK PENTING, PARTI YANG PERLU DIPERTAHANKAN

Apa dah jadi?…. Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Cheras berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, Syed Ali tidak melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO bahagian itu.

Peletakan jawatan tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor dalam sidang akhbar yang turut dihadiri semua pemimpin kanan bahagian itu. Syed Ali, memegang jawatan tersebut selama 10 tahun. Beliau tidak hadir pada sidang akhbar itu. Mahadi menjelaskan, tindakan Syed Ali itu dilakukan atas rasa tanggungjawabnya terhadap kekalahan teruk di Parlimen Cheras pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Peletakan jawatan Syed Ali mendapat persetujuan UMNO Cheras termasuk peringkat akar umbi. UMNO Cheras sentiasa memberikan pandangan dan pendapat terhadap perkara-perkara yang perlu dikaji oleh peringkat atasan. Sehubungan itu, saya cabar 10 daripada 13 Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti UMNO Cheras bagi menyatakan pandangan mereka terhadap kami. Saya juga cabar Pengerusi BN Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti Syed Ali yang melepaskan jawatan kerana atas rasa tanggungjawab terhadap parti”.

Menurut Mahadi, peletakan jawatan itu akan dimaklumkan kepada Pengerusi BN Cheras, Tan Sri Yee Hock Seng menerusi sepucuk surat, esok.

Ahad lalu, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO Bahagian Cheras mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique melepaskan jawatan Ketua Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. UMNO bahagian itu turut mahukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Zulhasnan dalam reaksinya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak memandang serius gesaan itu kerana hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang berhak membuat keputusan mengenai jawatan itu dan bukannya pihak lain.

Mahadi berkata, gesaan meminta Zulhasnan untuk meletakkan jawatan dibuat kerana UMNO Cheras kecewa dengan sikap beliau yang tidak serius memantau kerja-kerja parti dalam Parlimen Cheras.

Beliau menjelaskan, tindakan UMNO Cheras itu bukan kerana ingin melawan arus tetapi berharap pemimpin dapat mengambil tindakan daripada apa yang terjadi selepas pilihan raya baru-baru ini.

[Minda Yang Perlu Dihalusi] PAS ? Menang sorak, maruah tergadai ....

Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk menubuhkan Negara ISLAM, jauh sekali untuk melaksanakan hukum hudud. Pakatan Rakyat juga bukan untuk membela nasib orang-orang Melayu / Islam, jauh sekali dari membantu orang Melayu dari segi ekonomi dan sosial.

Pakatan Rakyat ialah pakatan untuk mewujudkan hak sama rata, di antara semua kaum, dan menjadi ISLAM sebagai agama rasmi Negara sebagai hanya satu simbol. Tidak lebih dan tidak kurang itu. Ianya boleh dikatakan sebagai satu pakatan longgar, yang ingin meruntuhkan dominasi Melayu / Islam dari menguasai pentas politik Negara.

Hanya penyokong PAS dan segelintir orang Melayu didalam PKR sahaja yang perasan, dibuai mimpi dan angan-angan bahawa PR akan mewakili madah ISLAM. Buangkan saja angan-angan itu jauh-jauh. Minyak dan air tak akan boleh bercampur.

DAP secara terang dan nyata menolak gagasan perjuangan PAS. Malah mereka dengan yakin mendakwa sebilangan besar rakyat berbangsa melayu juga, menolak agar Malaysia di jadikan negara ISLAM.

DAP juga menegaskan pendirian mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai negara sekular, di mana pendirian ini tidak lagi boleh dikompromi.

Itulah amaran yang ditujukan khusus kepada PAS. Dalam ertikata lain, jika PAS bersetuju dengan prinsip ini, sila bergabung di dalam PR. Kalau PAS masih bertegas untuk membentuk Negara Islam, maka dipersilakan keluar.

Parti PAS yang kuat, gagah, lantang satu masa dahulu, sekrang hanya menjadi lembu yang boleh di buat sesuka hati. PAS sekarang sudah boleh dijentik hidung, sudah tidak mampu melawan apabila berhadapan dengan DAP.

Persoalannya, apakah hukumnya orang PAS yang memberi undi kepada DAP, PKR yang terang-terang menolak perlaksaan ISLAM, menentang hukum hudud, ingin menjadi Malaysia sekular (dengan hak sama rata kepada semua rakyat).

Apakah perasaan anda, penyokong PAS yang sanggup sama-sama memenangkan parti roket ini, dengan agendanya yang jelas menolak perjuangan anda? Tidakkah anda juga bersuhabat?

Dan mana perginya Haji Hadi, Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pas yang dahulunya saban masa menghentam UMNO kononnya menolak ISLAM? Sedangkan pemimpin PAS inilah yang bekerjasama, berpelukan, berjabat tangan, bermesyuarat dan memutuskan bahawa Pas patut menyertai Pakatan Rakyat, untuk sama-sama bersekongkol dengan DAP yang jelas, nyata dan tak bersuluh lagi menentang Islam? Mana hilangnya suara mereka ini? Sudah jadi bisuka?

PAS dibawah pimpinan Haji Hadi umpama singa yang sudah hilang gigi. Boleh mengaum sesuka hati, namun takde sapa pun yang peduli. Masuk Pakatan Rakyat kenalah jadi balaci, kalau tak suka bolehlah angkat kaki. Ayuh PAS, buktikan jati diri, dah dihina dan dibuli, takkan masih tak sedar-sedar diri, lainlah kalau PAS sekarang dah jadi balaci DAP…



Sumber : Speech by Lim Kit Siang at the first Public Ceramah / Consultation
with DAP MPs, Excos, State Assemblymen at Chin Woo Hall, Ipoh on Saturday,
12th April 2008 at 9 pm:
http://dapmalaysia.org/english/2008/apr08/lks/lks4816.htm


Saturday, April 26, 2008

[dunia-politik] Bila PAS menjadi UMNO dan UMNO menjadi PAS

Dulu bila UMNO memerintah, PAS marah UMNO kerana tidak menerapkan hukum hudud, mengekalkan sistem sekular.

UMNO akan jawab, kita negara majmuk tidak boleh menerapkan undang-undang Islam kita cuma 56% sahaja. Keluarlah dalam ruangan agama ulama UMNO yang menerangkan tentang ketidak-upayaan dan umat Islam tidak kuat dan bla bla, diambillah ayat Al-Quran tentang arak haram beransur-ansur.

Sekarang bila PAS memerintah, UMNO dah jadi alim kucing dan pandai mempersoalkan tindakan PAS tentang hudud. maka kali ini giliran PAS pula menjawab kita kena utamakan MANIFESTO dulu, dan ada pula ulama PAS dalam harakah yang menjawab tentang hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali kalau kita dapat kuasa pusat. Lagipun kita ini hidup dalam masyarakat Majmuk (sebenarnya takut pada DAP dan orang Cina) penerapan mesti dengan memberi pengajaran kepada orang kafir tentang Islam. Usrah dan ceramah sekarang lebih bertumpu kepada untuk menjawab karenah UMNO bukan lagi untuk menerangkan konsep Islam yang sejati. Semuanya versi putarbelit.

Dua-dua beralasan dengan alasan sama, dan buat ustaz-ustaz PAS kembalilah ke jalan yang kita sama-sama rintis dulu. Usah mengikut jalan UMNO.

"Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang kafir" Al-Maidah : 44

[dunia-politik] PAKATAN RAKYAT MASIH MIMPI

Berikut adalah emel yang aku terima melalui ‘dunia-politik’. Lu fikirlah sendiri - [Black 40]


Oleh: Mr Podas

Keputusan pilihanraya ke 12 telah menyaksikan PAKATAN RAKYAT telah memperolehi kemenangan mutlak di 5 buah negeri ( KEDAH, PULAU PINANG, KELANTAN, PERAK dan SELANGOR). Apakah yang menyebabkan kemenangan yang begitu besar kepada PAKATAN RAKYAT sebenarnya ????- Pengundi atau BABI????¡­

Aku adalah pengundi tegal PAS di PULAU PINANG. Aku ingatkan dengan kemenangan PAKATAN RAKYAT, maka rakyat akan menikmati pelbagai janji-janji yang telah ditaburkan pada manifesto PKR, PAS dan DAP. Malangnya bukan itu yang aku dan penyokong PAKATAN dapat.

Sebagai anak MELAYU jati PULAU PINANG .. aku sangkakan perubahan pemerintahan dari GERAKAN kepada DAP akan memberikan sedikit ruang bagi orang Melayu di bumi mereka sendiri.

Tetapi .. dengan hanya 2 wakil orang Melayu yang berada dalam barisan EXCO, apa yang boleh dilakukan oleh depa ooiiii. Jangan kata nak tambah bajet untuk orang Melayu mengembangkan Islam, yang tengah berlaku la nih peruntukkan 7 Juta bagi pengembangan Ugama ISLAM telah mula dibahagikan sama rata dengan agama-agama lain, demi menyahut kesamarataan.

Apa dah jadi nihhhhhhhhh¡­. Kalau dulu GERAKAN tak boleh lakukan ini semua, tetapi LIM GUAN ENG, manusia yang penuh dengan putar belit macam bapanya dengan amat mudah memperdayakan rakyat PULAU PINANG.

Aku tak boleh terima benda ni semua­. Dimana PAKATAN RAKYAT yang lain??? Tak kan menunggulkan diri jek¡­ kemut takut jawatan terlepas, macam tu la bila kadok dah naik junjung.

Atau masih dalam mimpi.. tak percaya macam mana PAKATAN RAKYAT boleh menang PRU yang lalu. DAP terus dengan politik ala SINGAPURA nya..

Belum apa-apa- hadiah seterusnya oleh kerajaan baru DAP kepada pengundi mereka ialah memansuhkan DEB (Dasar Ekonomi Baru). Bukankah ini satu-satunya senjata yang dimiliki oleh kaum Melayu dalam memastikan orang Melayu boleh duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. Kalaula konsep ‘open tender’.. ingat orang Melayu leh masuk ka??.Tak yah nak bohong aku la... setahu aku la orang Melayu nih cuma pandai berpolitik. Untuk berekonomi.. minta maaf la.

Bila dah tak ADA DEB untuk pertahankan hak orang Melayu, masa itu barulah nampak bagaimana niat jahat DAP dalam memastikan orang MELAYU merempat di negeri sendiri. Bagi aku, GERAKAN dan DAP tak ada beza apa pun. Agenda mereka sama, memastikan PULAU PINANG menjadi negara SINGAPURA kedua.

Lepas ni aku tatau lah apa nak jadi ngn orang MELAYU macam aku kat PULAU PINANG. Lepas satu, satu, LIM GUAN ENG nak buat bagi memastikan rakyat Melayu terus dan terus terpinggir di negeri sendiri.

Aku tengok. Apa jua keputusan oleh kerajaan negeri di bawah PAKATAN RAKYAT adalah tidak tepat sama sekali. Di PERAK kemenangan PAKATAN RAKYAT disambut dengan penyerahan tanah dan perumahan Kampung Baru kepada kaum CINA. APAAA??? orang MELAYU miskin tak ada ka kat sana.

Kalau nak jadi MB PERAK.. pas tu dok kena cucuk idung dengan EXCO DAP.... aduh abis la MELAYU di PERAK.

Kerajaan SELANGOR lagi kelam kabut. Hadiah kemenangan kepada rakyat negeri SELANGOR adalah meluluskan Projek Penternakan BABI sebanyak RM 100 Juta. Mak ehhhhhh. Bukan kecik belanja tuu.. Lepas nih kalau aku nak ke KLIA.. kena berhati-hati melalui kawasan pengeluar Babi yang terbesar di ASIA.

Tahniah rakyat SELANGOR. Itu ker manifesto PAKATAN RAKYAT????

Tak cukup dengan itu, MB membuat kenyataan tidak akan memberikan keutamaan kepada setingan-setingan. Mana boleh jadi macam nih.. bukankah pengundi-pengundi yang memberikan kemenangan kepada calun PAKATAN RAKYAT.. sampai tukang ambil photo pun boleh menang.. bukan BABI.

Bukankah pembangunan rakyat, modal ehsan, masalah setingan, masalah kilang, masalah sosial, masalah kesesakan. banjir menjadi agenda utama dalam mengisi kemenangan ini.???¡­. Aku nampak .. MB SELANGOR ini takut pada tuntutan DAP. Nasibla korang rakyat SELANGOR.

Berbalik kepada diri aku. Aku kini Nampak sejelas-jelasnya.. PAS tak boleh bersekongkol DAP dulu ..kini ..dan selamanya... Harap-harap PAS sedarlah bahawa bersekongkol dengan DAP akan merugikan ISLAM dan Melayu kini dan Selamanya

Tindakan Pemimpin PAS Tolak Kerajaan Campuran Tawaran Umno Adalah Tepat

Berikut adalah emel yang aku terima. Kita adalah manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran, boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.... oleh itu, fikir-fikirkanlah ...... [Black40]


oleh Herman Samsudeen

Tindakan tiga pemimpin tertinggi PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli menolak pelawaan UMNO untuk mewujudkan kerajaan campuran di Selangor dan Perak sebelum ini adalah satu tindakan yang tepat.

Seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa PAS lebih rela bekerjasama dengan parti orang `kafir’ daripada bekerjasama dengan UMNO yang dituduhnya parti zalim.

PAS merupakan sebuah parti yang kini semakin mendapat sokongan orang Melayu dan UMNO kian tersepit hingga sanggup mengadakan rundingan belakang tabir selepas pilihanraya ke-12 untuk memujuk pemimpin PAS membantu mereka menubuhkan kerajaan campuran di Perak dan Selangor.

Walaubagaimana pun pemimpin PAS menolak permintaan tersebut dan mendedahkan segala isi perbincangan itu kepada pimpinan Pakatan Rakyat yang lain sebagai menghormati semangat setiakawan yang kini semakin erat. Pemimpin PAS ditawarkan jawatan tinggi dalam rundingan itu, tetapi sedikit pun mereka tidak berminat.

Lantaran itu rakyat dapat melihat bahawa politik pemimpin PAS lebih matang kerana berjaya menunjukkan komitmen mereka dalam menjalankan hubungan baik dengan semua anggota Pakatan Rakyat, DAP dan KeADILan.

PAS tidak pernah membelakangkan orang Melayu, dan rakyat sedar akan perkara ini. Nadi perjuangan PAS adalah Islam dan Islam sendiri mengajar pemimpin PAS untuk berbuat baik pada semua rakyat tanpa mengira kaum atau pun agama.

Kenyataan bahawa pemimpin PAS tidak wajar bekerjasama dengan parti orang ‘kafir’ adalah satu kenyataan yang biadap dan dengan sendirinya menunjukan Umno selama ini bersikap talam dua muka dengan pemimpin komponen BN lain yang terdiri dari kaum bukan Islam seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Hanya kerana inginkan kuasa mereka sanggup meninggalkan rakan-rakan mereka dalam BN dan memujuk pemimpin PAS bergabung bersama mereka secara senyap-senyap.

Ini adalah sikap orang tamak dan tidak setiakawan. Oleh itu, parti komponen BN yang lain di ingatkan untuk berhati-hati dengan pemimpin Umno kerana selama ini merekalah yang mempergunakan undi kaum cina dan India untuk survival politik mereka.

Kegagalan komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP dalam pilihanraya yang lalu adalah berpunca dari sikap pemimpin Umno. Pemimpin Umno melalui Abdullah Badawi, Hishamuddin dan ramai lagi sering mengeluarkan isu-isu yang menindas dan menghina kaum cina dan India.

Kes tuntutan NGOs cina dan juga kebangkitan Hindraf yang gagal ditangani dengan baik memadamkan kepercayaan rakyat pada Umno dan semua komponen BN. Pemimpin-pemimpin BN lainnya dilihat sebagai alat atau pun kuda tungangan dan tidak berani bersuara dihadapan pemimpin Umno dalam mempertahan hak kaum mereka.

Kini bila mereka gagal mempertahankan kerusi DUN dan Parlimen, Abdullah menyalahkan mereka dan menuduh mereka sebagai gagal untuk membantu BN.

PAS juga pernah menyertai pakatan BN dalam Kerajaan Campuran selepas Pilihanraya 1974, walaubagaimana pun disebabkan sikap Umno yang tidak ikhlas pemimpin PAS bertindak keluar dari pakatan itu. Walaupun menerima kekalahan teruk pada pilihanraya 1978 kerana keluar dari BN, namun PAS tetap konsisten dalam menentang kezaliman Umno hinggalah berjaya menubuhkan lima Kerajaan Negeri bersama komponen Pakatan Rakyat selepas pilihanraya baru-baru ini.

Kesabaran dan juga keihklasan pemimpin PAS sering teruji. Pengalaman lampau telah cukup untuk memberikan pengajaran kepada generasi muda PAS bahawa parti ini tidak memerlukan Umno untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dalam membentuk Kerajaan. Dan untuk kepentingan rakyat dan Islam PAS akan terus dengan pendiriannya untuk tidak berkerjasama dengan Umno selagi mana mereka tidak meninggalkan budaya rasuah, judi, arak, zina dan pembaziran dalam politik mereka.

PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik, tetapi mereka juga perlulah belajar menghormati pemimpin PAS dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya.


*Herman Samsudeen adalah Ketua Penerangan DPP Wilayah Persekutuan dan Juga Setiausaha Politik YB. Dr. Lo'Lo' serta Koordinator bagi Semua MP Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan.

Berundurlah Haji Hadi...

Itulah kata-kata seorang penyokong setia parti bulan yang tidak berjawatan ini. Kata-kata ini semakin kedengaran di peringkat akar umbi, cuma tidak berani diluahkan atau dipanjangkan oleh pemimpin tertinggi mereka sahaja. Namun perbualan ini setiap hari menjadi semakin panas, semuanya mengzahirkan persoalan adakah perlu Haji Hadi diberi kepercayaan untuk memimpin parti yang berusia 52 tahun ini.

Kewibawaan Haji Hadi untuk membawa parti yang sudah sekian lama menjadi seteru kuat UMNO, kini semakin menjadi persoalan. Haji Hadi bukan sahaja gagal membawa PAS menjadi parti yang digeruni dalam arena politik Malaysia, malah kesilapan strategi dalam PRU-12 yang lalu, membuatkan PAS sekarang hanya parti yang melukut di tepi gantang. Tanpa suara dan tanpa kekuatan apapun dalam Pakatan Rakyat.

Dengan hanya memenangi 23 kerusi dari sasaran 40 kerusi, PAS semakin kehilangan suara dalam Pakatan Rakyat. Di tambah pula dengan kegagalan Haji Hadi menawan kembali Trengganu membuatkan kredibiliti Presiden PAS ini semakin dipertikaikan. Kata-kata bahawa 40,000 heai borang ahli telah habis ialah sekadar retorik politik untuk meredakan kemarahan dan memulihkan imej parti ini, yang selama ini mengatakan bahawa mereka telah banyak menerima sokongan dari orang bukan ISLAM.

Ramai pemerhati politik melihat senario sekarang adalah sukar bagi PAS untuk membuktikan adakah mereka masih lagi relevan di dalam Pakatan Rakyat. PAS sekarang adalah ibarat penumpang sahaja didalam Pakatan Rakyat. Apatah lagi, Haji Hadi sebagai Presiden parti yang "perlu menjadi tunggak Pakatan Rakyat" hanyalah kekal sebagai ahli parlimen biasa, tanpa ada sebarang kelebihan pun berbanding pemimpin dari PKR dan DAP.

Diburukkan lagi keadaan apabila pengerusi DAP, Karpal Singh secara terbuka menyanggah dan mempertikaikan niat PAS untuk menubuhkan negara ISLAM, semakin menambah luka di hati penyokong setia ini. Beliau bukan sahaja memperlecehkan kata-kata Nik Aziz Nik Mat, malah secara terbuka menyanggah MB Kedah, Ustaz Azizan di media massa... Sanggahan yang sehingga kini masih tidak terjawab oleh mana-mana pemimpin PAS...

Sememangnya PAS layak dimuziumkan sahaja. Apa guna kalau sekadar menjadi juara di pentas ceramah, pandai melabelkan itu ini kepada kerajaan BN, tapi di realiti politik, PAS hanya tinggal nama. Jika PAS sendiri tidak yakin mampu untuk memperjuangkan negara atau negeri ISLAM, menghapuskan judi dan arak di negeri yang dipimpinnya, maka bubarkan saja. Jika dengan gertakandari DAP sahaja boleh membuatkan pemimpin tertinggi PAS kecut perut, maka lebih baiklah berundur. Berilah peluang kepada mereka yang lebih berani.

Nampak gayanya Haji Hadi dah menjadi "ubat yang luput tempoh". Nak di makan lebih banyak mudaratkan, nak disimpan pun, tiada gunanya. - (Minda Yang Perlu Dihalusi)

Wednesday, April 23, 2008

Mungkin Kah Choon Bermain Sandiwara?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, tindakan Datuk Lee Kah Choon menerima jawatan Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif InvestPenang, bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, Kah Choon tidak boleh menerima kedua-dua jawatan yang ditawarkan kerajaan negeri itu sebelum merujuk kepada Gerakan.

Tambahnya, bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan itu perlu mendapat pandangan dan keputusan parti mengenai tawaran itu.

Dalam masa yang sama, Bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan itu berkata, beliau sedia menerima sebarang kritikan berikutan persetujuannya menerima pelantikan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi InvestPenang dalam kerajaan negeri yang diterajui DAP.

Katanya, beliau menunggu tindakan daripada pucuk pimpinan Gerakan berhubung kedudukannya dalam parti selepas menerima tawaran memegang kedua-dua jawatan itu daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kerja saya dalam InvestPenang tidak ada kaitan dengan politik dan tak semestinya saya dalam InvestPenang saya kena berundur daripada parti.”

Kalau dilihat dari scenario ini, mungkinkah Kah Choon akan menyertai DAP dalam masa yang terdekat ini? Atau Kah Choon sebenarnya cuba bermain sandiwara – demi mencari publisiti politik demi untuk kepentingan peribadi?

Monday, April 21, 2008

Hashim Suboh realistik- `UMNO perlu kembali jadi parti kampung’

Akhirnya, dah hampir sebulan kita sibuk menganalisis keputusan PRU12 dan bermacam-macam andaian dan tuduhan demi tuduhan yang kita buat untuk meletakkan kesalahan-kesalahan yang menyebabkan UMNO dan BN kalah dalam PRU lalu, hari ini baru aku puas hati dengan satu kenyataan mengapa BN dan UMNO kalah dlm PRU lalu.

Aku suka dengan Hashim Suboh, Timbalan ketua UMNO Kangar yang telah meminta agar UMNO perlu mengikis imej 'parti eksekutif' yang mula dikaitkan dengan parti itu, sebaliknya kembali menjadi 'parti kampung' dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat bagi meraih semula sokongan setiap lapisan rakyat.

Inilah hakikat sebenarnya namun dalam masa yang sama, faktor-faktor lain tu juga tidak harus diabaikan.

Pemimpin UMNO perlu menghayati semula semangat keperwiraan iaitu dengan lantang dan bersungguh-sungguh dalam mendekati serta menyelesaikan setiap masalah rakyat agar mereka menjadi pemimpin yang lebih dihormati. Memang sudah ada kecenderungan dalam kalangan rakyat yang mengaitkan UMNO dengan tempat meraih kuasa dan kekayaan, sehingga parti itu semakin jauh daripada masyarakat.

Ini realiti yang perlu kita akui, sudah ada persepsi-persepsi begini yang mengaitkan UMNO dengan kemegahan, keangkuhan dan kekayaan. Ini bukan imej UMNO yang sebenar. Dalam keadaan kita gah tampil dengan gaya mewah, masalah dan rintihan orang di bawah pula tidak selesai-selesai.

Semua ini rakyat lihat dan menilai, inilah yang akan buat orang berjauh hati dengan UMNO. 'parti kampung' bukan bermaksud UMNO perlu mundur semula ke belakang tetapi mengukuhkan pendekatan yang lebih mesra rakyat dengan sering turun padang dalam menyelami masalah masyarakat.

Para pemimpin juga, katanya, hendaklah merapatkan jurang antara mereka dengan orang bawahan dan sentiasa bersedia untuk meluangkan masa bertemu dengan rakyat.

Janganlah ada orang kata hendak jumpa pemimpin pun susah, selalu sangat sibuk, pemimpin kena sedar bahawa mereka adalah tempat rakyat untuk mengadu dan bergantung harap, jadi (hubungan) itu perlu dijaga.

Sunday, April 20, 2008

selamat datang

Assalammualaikum

Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang melawat blog saya yang tidak seberapa ini. Saya orang baru. Budak-budak baru belajar, kalau salah tolong ajarkan.

"Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, Namun hati rela berjuang, dengan cara sendiri, demi cinta ini…. Ku ingin, kotakan seribu janji, sepanjang perjalanan ini, ku ingin, sampaikan pesanan….. akulah Penyambung Warisan…." .

Bersama aku, mari kita bersama-sama membicarakan apa sahaja topik perjuangan bangsa, merangkumi aspek politik, sosial, ekonomi, bisnes, pendidikan dan apa sahaja isu semasa yang mendasari kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya mengenai agenda Melayu…

Semoga persahabatan di alam maya ini akan membentuk sebuah ikatan persabahatan generasi cemerlang, demi pembangunan sebuah masyarakat yang gemilang dan pembinaan Negara yang terbilang. Insya-Allah.