Saturday, April 26, 2008

Berundurlah Haji Hadi...

Itulah kata-kata seorang penyokong setia parti bulan yang tidak berjawatan ini. Kata-kata ini semakin kedengaran di peringkat akar umbi, cuma tidak berani diluahkan atau dipanjangkan oleh pemimpin tertinggi mereka sahaja. Namun perbualan ini setiap hari menjadi semakin panas, semuanya mengzahirkan persoalan adakah perlu Haji Hadi diberi kepercayaan untuk memimpin parti yang berusia 52 tahun ini.

Kewibawaan Haji Hadi untuk membawa parti yang sudah sekian lama menjadi seteru kuat UMNO, kini semakin menjadi persoalan. Haji Hadi bukan sahaja gagal membawa PAS menjadi parti yang digeruni dalam arena politik Malaysia, malah kesilapan strategi dalam PRU-12 yang lalu, membuatkan PAS sekarang hanya parti yang melukut di tepi gantang. Tanpa suara dan tanpa kekuatan apapun dalam Pakatan Rakyat.

Dengan hanya memenangi 23 kerusi dari sasaran 40 kerusi, PAS semakin kehilangan suara dalam Pakatan Rakyat. Di tambah pula dengan kegagalan Haji Hadi menawan kembali Trengganu membuatkan kredibiliti Presiden PAS ini semakin dipertikaikan. Kata-kata bahawa 40,000 heai borang ahli telah habis ialah sekadar retorik politik untuk meredakan kemarahan dan memulihkan imej parti ini, yang selama ini mengatakan bahawa mereka telah banyak menerima sokongan dari orang bukan ISLAM.

Ramai pemerhati politik melihat senario sekarang adalah sukar bagi PAS untuk membuktikan adakah mereka masih lagi relevan di dalam Pakatan Rakyat. PAS sekarang adalah ibarat penumpang sahaja didalam Pakatan Rakyat. Apatah lagi, Haji Hadi sebagai Presiden parti yang "perlu menjadi tunggak Pakatan Rakyat" hanyalah kekal sebagai ahli parlimen biasa, tanpa ada sebarang kelebihan pun berbanding pemimpin dari PKR dan DAP.

Diburukkan lagi keadaan apabila pengerusi DAP, Karpal Singh secara terbuka menyanggah dan mempertikaikan niat PAS untuk menubuhkan negara ISLAM, semakin menambah luka di hati penyokong setia ini. Beliau bukan sahaja memperlecehkan kata-kata Nik Aziz Nik Mat, malah secara terbuka menyanggah MB Kedah, Ustaz Azizan di media massa... Sanggahan yang sehingga kini masih tidak terjawab oleh mana-mana pemimpin PAS...

Sememangnya PAS layak dimuziumkan sahaja. Apa guna kalau sekadar menjadi juara di pentas ceramah, pandai melabelkan itu ini kepada kerajaan BN, tapi di realiti politik, PAS hanya tinggal nama. Jika PAS sendiri tidak yakin mampu untuk memperjuangkan negara atau negeri ISLAM, menghapuskan judi dan arak di negeri yang dipimpinnya, maka bubarkan saja. Jika dengan gertakandari DAP sahaja boleh membuatkan pemimpin tertinggi PAS kecut perut, maka lebih baiklah berundur. Berilah peluang kepada mereka yang lebih berani.

Nampak gayanya Haji Hadi dah menjadi "ubat yang luput tempoh". Nak di makan lebih banyak mudaratkan, nak disimpan pun, tiada gunanya. - (Minda Yang Perlu Dihalusi)

No comments: