Monday, June 23, 2008

Melayu Lupa Asal Usul : Titah Raja Muda Perak Jadi Rujukan Sekretariat Pemuda

Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa (SPNB) Pemuda UMNO mengalu-alukan dan bersetuju dengan titah YTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bahawa orang Melayu terutama hari ini telah lupa akan asal usul mereka.

Pengerusi Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Azizi Wan Mohamed berkata, sememangnya terdapat segelintir orang Melayu hari ini seolah-olah telah menidakkan perjuangan bangsa mereka yang telah mempertahankan tanah air ini sejak sebelum merdeka lagi hinggalah ke hari ini.

Atas dasar itu, kita akan meneliti inti pati ucapan Tuanku Raja Muda Perak semasa baginda berucap merasmikan Hari Ucapan & Anugerah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dalam merangka terma-terma serta gerak kerja sekretariat dalam mencari jalan terbaik untuk rujukan kita.

Sekretariat juga bercadang untuk mengadakan satu seminar bagi membincangkan perkara yang di bangkitkan oleh YTM Tuanku Raja Muda dan akan menjunjung Duli untuk YTM Tuanku Raja Muda Perak.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam bertitah, bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda lagi, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

Titah Raja Muda Perak yang menyebut ramai di kalangan rakyat negara ini terutama sekali orang Melayu dari segi perbuatan dan perlakuan mereka seolah-olah seperti kacang lupakan kulit ada kebenarannya.

“Dalam soal ini, kita akan berusaha sebaik mungkin agar perkara seumpama ini tidak akan berlaiu lagi pada masa akan datang terutama di kalangan generasi muda agar mereka terus menjadi benteng yang ampuh untuk mempertahankan kemakmuran negara", ujarnya.

SELEPAS YONG TECK LEE, TSU KOON PULA BUAT HAL…. Selepas ini siapa pula?

Sebelum ini:

Komponen BN, Parti Maju Sabah (SAPP) mengatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersedia untuk menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Presidennya Datuk Yong Teck Lee berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) lewat menyelesaikan semua isu-isu membabitkan Sabah.
SAPP mempunyai dua ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun yang menang atas tiket BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Semalam:

Gerakan pula menggesa dominasi UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dikurangkan sebaliknya setiap 14 parti komponen diberi hak yang sama untuk bersuara dan menentukan hala tuju gagasan itu. Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendakwa hak sama rata kepada parti komponen yang terkandung dalam Perlembagaan BN tidak lagi diamalkan sejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mentadbir negara pada 1980an.

''Amalan hanya seorang pemimpin (daripada UMNO) yang berkuasa dalam BN perlu dihentikan bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program bual bicara parti itu di Ibu Pejabat Gerakan Selangor di sini malam ini.

Tsu Koon berkata, langkah awal supaya dominasi UMNO dikurangkan boleh dilakukan sekiranya BN mengadakan mesyuarat lebih kerap dan bukannya seperti sebelum ini hanya sekali dalam tempoh dua tahun.

''Saya gembira kerana terdapat usaha-usaha positif untuk mengubah BN dan perkara ini terbukti apabila mesyuarat selepas pilihan raya umum lalu dilakukan hampir setiap bulan.

''Banyak lagi perubahan yang kita harapkan termasuk UMNO perlu menghormati Perlembagaan BN yang digubal pada 1974 yang menyatakan bahawa setiap keputusan yang dibuat perlu sebulat suara," katanya.

Dalam pada itu, Tsu Koon berharap UMNO berubah dengan memberikan peluang kepada golongan liberal Melayu untuk menerajui kepimpinan parti itu.

Golongan ini seperti Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Wanita parti itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim adalah lebih bersikap terbuka dan dapat diterima oleh bukan Melayu. Langkah ini penting kerana bukan Melayu pada pilihan raya lalu beralih kepada pembangkang disebabkan bimbang dengan usaha kerajaan BN diterajui UMNO memberi penekanan kepada Islam sebagai satu cara hidup dan bukan negara sekular seperti diperjuangkan golongan liberal.


Akan Datang:

? ? ?

Monday, June 9, 2008

Elaun keraian anggota kabinet dikurangkan 10 peratus

Elaun keraian melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Mengumumkan langkah-langkah penjimatan yang akan menjimatkan RM2 bilion setahun, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah lain dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan berikutan kenaikan harga minyak.

Abdullah berkata penjimatan itu termasuk membekukan cuti berbayar bagi menteri dan timbalan menteri dan mengehadkannya kepada dalam negeri dan rantau Asean sahaja serta tidak melebihi seminggu.

Sebelum ini, kumpulan itu menikmati cuti dibayar oleh kerajaan ke mana-mana destinasi sekali setahun

PAK LAH JUMPA KETUA UMNO CAWANGAN – Dengar pandangan dan keluhan akar umbi

Baguslah Pak Lah, kita kena jumpa ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk mendengar mendengar pandangan, keluhan dan mendapat maklum balas daripada akar umbi. Lawatan dan pertemuan seumpama ini akan membolehkan ahli-ahli cawangan kita di bawah berinteraksi secara langsung dengan Pak Lah, sebagai Presiden parti.

Inilah masa yang terbaik, program sebegini akan memberi kesempatan kepada Pak Lah untuk menjelas dan meredakan isu-isu yang berbangkit.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, apa yang lebih penting ia turut memberi peluang kepada para pemimpin terbabit meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selama ini. Lawatan Presiden sudah bermula dan pertemuan akan diadakan lebih intensif untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi. Sebelum ini, Pak Lah hanya bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT), ketua bahagian dan kali ini dengan ketua cawangan pula untuk mendapat maklum balas.

Menurut Muhammad, lawatan Pak Lah yang juga Pengerusi BN cukup penting dalam usaha mengembalikan keyakinan pemimpin di peringkat cawangan pada pucuk pimpinan parti. Pertemuan itu kata beliau, dapat menjelaskan banyak kekeliruan yang berlaku dan semua itu penting bagi mengukuhkan kekuatan parti dan kepimpinan.

Beliau berkata, program yang pertama kali diadakan ini akan membolehkan kira-kira 20,000 pemimpin di peringkat akar umbi memberikan pandangan mereka kepada Presiden UMNO. Sepanjang sesi pertemuan antara Presiden dan pemimpin di peringkat akar umbi, Abdullah mendengar banyak pandangan dan mendapat maklum balas mengenai apa yang berlaku di peringkat bawahan. Setakat ini, maklum balas yang diperoleh daripada pertemuan itu sangat menggalakkan selain penerangan yang diberikan oleh Abdullah dapat diterima pemimpin di peringkat bawahan.

Sunday, June 8, 2008

TAMBAH PERUNTUKAN RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM

CADANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR UNTUK MENAMBAHKAN PERUNTUKAN BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM DAN MENGGUGURKAN SYARAT HAD KELUASAN BANGUNAN; PERLU MENGAMBIL KIRA SENSITIVITI UMAT ISLAM DAN KAJIAN TERPERINCI

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Bin Mohd Munir berkata, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan akhbar (The Star m/s N18 dan Akhbar Sinar Harian, Sabtu 8 Jun 2008) yang melaporkan kenyataan YB Dr. Xavier Jayakumar dan YB Ronnie Liu berkenaan cadangan yang akan diusulkan untuk menghapuskan syarat had keluasan rumah ibadat bukan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang PBT.

Selain itu turut dilaporkan ialah cadangan penambahan peruntukan dan jumlah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa tidak mencukupi. ABIM menegaskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira faktor kewujudan terlalu banyak rumah-rumah ibadat yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh kerana rumah-rumah ibadat ini dibina di atas tanah-tanah yang bernilai komersial tinggi, masalah perobohan akan timbul apabila tanah-tanah tersebut ingin dibangunkan. Untuk mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat baru yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran PBT.

2. Sebarang perubahan syarat pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat terutamanya komuniti Islam. Komposisi penduduk sesuatu kawasan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian. Jawatankuasa Penduduk/ Persatuan Penduduk dan NGO-NGO Islam khususnya perlu dibawa berunding terlebih dahulu sekiranya pembinaan rumah ibadat bukan Islam melibatkan kawasan berpenduduk majoriti Islam.

3. Akhir-akhir ini wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam atas alasan masyarakat Islam di negara ini menerima peruntukan yang besar untuk membina masjid dan surau. ABIM menegaskan bahawa umat Islam mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat 5 kali sehari dan solat Jumaat secara berjamaah. Selain itu peruntukan besar kepada masjid dan surau diperolehi melalui konsep zakat yang wujud dalam Islam dan hak-hak yang jelas diperuntukan oleh perlembagaan. Kebanyakan surau juga dibina hasil daripada pungutan derma ahli-ahli kariah dan bukannya peruntukan kerajaan. Kajian yang dilakukan oleh ABIM bersama beberapa pihak pada akhir tahun 2007 mendapati bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang adalah jauh melebihi jumlah masjid dan surau. Pandangan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi jumlah rumah-rumah ibadat bukan Islam adalah tidak benar.

4. ABIM juga menegaskan bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat perlu mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain berhubung dengan status Islam yang perlu diberi keutamaan. Namun demikian hal ini tidak menafikan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam terhadap rumah-rumah ibadat.


Oleh yang demikian sebelum sebarang perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang PBT haruslah dijalankan melalui kajian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

ABIM dalam hal ini tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan semangat toleransi antara kaum, namun sewajarnya sebarang tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip-prinsip perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak-hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.

SELAMAT HARI KEPUTERAAN...

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memotong kek hari keputeraan baginda sambil diperhatikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat pulang selepas Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Istiadat itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda di Dataran Merdeka, semalam. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal. Istiadat itu diadakan sebagai sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Baginda juga berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat daripada pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang ATM.

Bertindak Bijak Hadapi Kenaikan Harga Minyak- TUANKU MIZAN

DAULAT TUANKU- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pastri Federal Hotel International, Md Zamri Awaludinmengenai keistimewaan kek dihadiahkan hotel itu pada majlis persembahan kek sempena hari ulang tahun keputeraan Seri Paduka, di Istana Negara, Kuala Lumpur.



Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru semua rakyat supaya bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak. Seri Paduka bertitah: "Jika perlu mungkin elok untuk kita mengubah suai gaya hidup bagi memastikan tekanan daripada masalah ini dapat dikurangkan."

"Beta akur bahawa masalah kenaikan harga ini sememangnya amat menekan kehidupan rakyat. Namun Beta berharap agar rakyat semua bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi situasi seumpama ini," titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan menerusi RTM.

Tuanku Mizan mahu kerajaan terus memantau situasi itu dan mengambil segala tindakan bagi memastikan masalah dapat dikawal dan diatasi.

"InsyaAllah berkat kesabaran dan kebijaksanaan kita, masalah ini akan sama-sama kita atasi dan kita akan bertambah matang dan kuat untuk menjalani kehidupan seterusnya," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menitahkan supaya pengurusan sumber petroleum negara diurus dengan cekap supaya kekayaan itu dapat terus diwarisi dan dinikmati oleh generasi akan datang. Titah Tuanku Mizan, jika bukan dalam bentuk asalnya, hasil yang diperoleh hari ini wajar dilaburkan dalam aspek lain seperti pembangunan prasarana supaya ia turut dinikmati generasi akan datang.

"Beta khuatir dan prihatin apabila dimaklumkan bahawa menjelang 2011, import petroluem negara akan lebih tinggi daripda eksport. Beta berpandangan bahawa adalah tidak adil jika kurniaan Tuhan ini kita perah dan manfaatkan hasilnya dengan sepenuhnya tanpa ditinggalkan sedikitpun untuk generasi akan datang," titah Seri Paduka.

Merujuk kepada sistem kehakiman negara, Seri Paduka mahu melihat sistem kehakiman wujud sebagai institusi yang bebas, adil dan diyakini rakyat. Seri Paduka menyambut baik sebarang usaha yang diambil untuk memperkasakan sistem kehakiman negara termasuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

"Beta percaya bahawa keanggotaan suruhanjaya ini nanti akan dipilih dari kalangan mereka yang relevan dan berwibawa agar kewujudan suruhanjaya ini akan benar-benar menepati aspirasi penubuhannya," titah Tuanku Mizan.

Yang di-Pertuan Agong juga prihatin dengan proses perbicaraan dan penghakiman yang mengambil masa lama dan berharap usaha pragmatik diambil agar segala kes yang dibawa ke mahkamah, terutama kes tertunggak, diselesaikan dengan segera.

Seri Paduka turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan pengambilan lebih ramai pegawai pencegah rasuah.

Tuanku Mizan juga yakin rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Percetakan dan Penerbitan Negara dapat memastikan media memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya.

Monday, June 2, 2008

BIASISWA: GPMS AKAN JUMPA NAZRI

GPMS akan mengadakan pertemuan dengan menteri di JPM, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu penambahan kuota biasiswa JPA kepada bukan bumiputera yang mencecah 45%.

Presiden GPMS, Dato’ Reezal berkata, GPMS komited untuk mendalami isu berkenaan dengan lebih bersungguh-sungguh sebelum memberikan pandangan balas dan cadangan yang lebih konstruktif.

”GPMS dihujani banyak panggilan dari seluruh negara yang inginkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut. GPMS berharap kenyataan tersebut bukanlah dasar baru kerajaan. Tanpa mempunyai niat yang bersifat perkauman, keputusan tersebut wajar dinilai dan diteliti secara menyeluruh.”

Reezal berkata, GPMS berpegang kepada prinsip meritokrasi namun mengharapkan ia dilaksanakan dengan semangat dan mekanisme yang betul dan tepat.

Penganugerahan biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal ’merit pencapaian’ tetapi juga persoalan ’merit sosioekonomi’. Langkah itu juga adalah penting agar ruang untuk memperoleh pendidikan yang lebih tinggi dapat menjurus kepada kumpulan yang tepat dalam masyarakat Malaysia.