Sunday, June 8, 2008

TAMBAH PERUNTUKAN RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM

CADANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR UNTUK MENAMBAHKAN PERUNTUKAN BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM DAN MENGGUGURKAN SYARAT HAD KELUASAN BANGUNAN; PERLU MENGAMBIL KIRA SENSITIVITI UMAT ISLAM DAN KAJIAN TERPERINCI

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Bin Mohd Munir berkata, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan akhbar (The Star m/s N18 dan Akhbar Sinar Harian, Sabtu 8 Jun 2008) yang melaporkan kenyataan YB Dr. Xavier Jayakumar dan YB Ronnie Liu berkenaan cadangan yang akan diusulkan untuk menghapuskan syarat had keluasan rumah ibadat bukan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang PBT.

Selain itu turut dilaporkan ialah cadangan penambahan peruntukan dan jumlah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa tidak mencukupi. ABIM menegaskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira faktor kewujudan terlalu banyak rumah-rumah ibadat yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh kerana rumah-rumah ibadat ini dibina di atas tanah-tanah yang bernilai komersial tinggi, masalah perobohan akan timbul apabila tanah-tanah tersebut ingin dibangunkan. Untuk mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat baru yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran PBT.

2. Sebarang perubahan syarat pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat terutamanya komuniti Islam. Komposisi penduduk sesuatu kawasan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian. Jawatankuasa Penduduk/ Persatuan Penduduk dan NGO-NGO Islam khususnya perlu dibawa berunding terlebih dahulu sekiranya pembinaan rumah ibadat bukan Islam melibatkan kawasan berpenduduk majoriti Islam.

3. Akhir-akhir ini wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam atas alasan masyarakat Islam di negara ini menerima peruntukan yang besar untuk membina masjid dan surau. ABIM menegaskan bahawa umat Islam mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat 5 kali sehari dan solat Jumaat secara berjamaah. Selain itu peruntukan besar kepada masjid dan surau diperolehi melalui konsep zakat yang wujud dalam Islam dan hak-hak yang jelas diperuntukan oleh perlembagaan. Kebanyakan surau juga dibina hasil daripada pungutan derma ahli-ahli kariah dan bukannya peruntukan kerajaan. Kajian yang dilakukan oleh ABIM bersama beberapa pihak pada akhir tahun 2007 mendapati bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang adalah jauh melebihi jumlah masjid dan surau. Pandangan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi jumlah rumah-rumah ibadat bukan Islam adalah tidak benar.

4. ABIM juga menegaskan bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat perlu mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain berhubung dengan status Islam yang perlu diberi keutamaan. Namun demikian hal ini tidak menafikan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam terhadap rumah-rumah ibadat.


Oleh yang demikian sebelum sebarang perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang PBT haruslah dijalankan melalui kajian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

ABIM dalam hal ini tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan semangat toleransi antara kaum, namun sewajarnya sebarang tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip-prinsip perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak-hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.

1 comment:

Cheguman said...

Kerajaan Selangor memang wajar memberi lebih ruang kepada agama-agama lain kerana:
1) Konsep persamaan hak yang telah dipersetujui bersama PR.
2) Kesediaan DAP memberi laluan kepada Khalid menjadi MB.
3) Sokongan orang bukan Islam dalam menumbangkan kerajaan UMNO (pejuang bangsa/kaum/assobiah/racism!)

Lagipun rakyat Selangor sendiri dah tak kesah lagi... Buat la apa nak buat...

Oh ya, PKR jangan hanya beri peluang pada kuil Hindu saja. Mesti adil. Sepatutnya gereja pun kena tambah lagi tu. Bukan duit orang lain, duit daripada orang Kristian jugak...! Kalu tak cukup, DSAI boleh kasi cash!