Thursday, July 31, 2008

Pertahan kedaulatan negara - Tuanku Mizan

Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta pasukan keselamatan negara untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang serta mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Baginda bertitah kecemerlangan dan pengorbanan perwira-perwira terdahulu dalam memastikan agama, bangsa dan negara serta kedaulatan negara dipertahankan, wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pasukan keselamatan negara sekarang.

"Beta ingin mengingatkan, walaupun negara kita adalah sebuah negara yang sentiasa cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, namun isu-isu keselamatan global dan serantau memerlukan pasukan keselamatan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke atas kedaulatan negara yang tercinta ini," titah baginda sempena Hari Pahlawan 2008 menerusi RTM1 malam ini.

Baginda juga meminta rakyat menghayati semangat taat setia tidak berbelah bahagi oleh pasukan keselamatan terdahulu apabila hasil perjuangan dan pengorbanan mereka menyebabkan negara aman dan sejahtera.

Titah baginda, sempena sambutan Hari Pahlawan yang akan disambut esok, rakyat perlu mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

"Semua rakyat perlu mempunyai iltizam yang murni ini kerana tugas dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata tetapi ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia," titahnya.

Baginda juga berharap pada masa yang sama kredibiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan perlu ditingkatkan agar menjadi sebuah organisasi yang sentiasa digeruni, dikagumi dan disegani.

"Perkara ini telah terbukti di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa seperti yang telah dipamerkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan dalam melaksanakan tugas mereka di luar negara terutama dalam pasukan tugas pengaman antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Penugasan tugasan awam, di United Kingdom oleh Batalion Istiadat dari Tentera Darat Malaysia misalnya telah mempamerkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi di mata dunia," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah secara langsung penugasan itu telah memperkenalkan negara ini ke mata dunia dan seterusnya menarik ramai pelancong dari luar negara. Selain itu baginda meminta rakyat Malaysia supaya tabah menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang berpunca daripada kenaikan harga bekalan makanan dan harga minyak global.

Baginda bertitah dalam menghadapi ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan itu, rakyat diminta bersama-sama berdoa semoga keadaan itu akan dapat diatasi dalam masa yang singkat.

"Beta berasa amat bersyukur kerana situasi di negara ini jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain. Justeru, beta berharap keadaan ini tidak akan mencetuskan situasi yang menjadikan negara kita tidak stabil, kacau bilau serta huru-hara," titahnya.

Tuanku Mizan bertitah sempena Hari Pahlawan, berharap semua pihak di negara ini perlu mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang telah terkorban dan tercedera demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Nilai pergorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan serta kedaulatan negara amat tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Keberanian mereka dalam memerangi musuh dan menjaga keselamatan negara memang tiada tolok bandingnya dalam menentukan seluruh rakyat jelata dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur," katanya.

Titah baginda bagi menghargai mereka, pahlawan yang masih hidup termasuk balu dan keluarganya yang telah berkorban wajar diberikan sokongan dalam sebarang bentuk sekalipun.

Tuesday, July 15, 2008

Peranan Koperasi Dalam Merakyatkan Pemilikan Ekuiti

ISLAM MEMPERKASA BANGSA MELAYU

Seringkali kita mendengar orang berkata, Islam agama yang hebat dan membentuk penganuntnya menjadi insan yang bertamadun. Pernyataan tersebut deisertakan dengan kisah-kisah umat Islam yang berjaya dan gemilang sebagai sokongan. Dengan harapan umat Islam hari ini berbangga dengan agama mereka dan umat lain akan tertarik dengan agama yang agung ini.

Malangnya kenyataan diatas kelihatannya amat berbeza dengan realiti umat Islam hari ini. Sementara manusia pula secara majoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksi berbanding dengan apa yang tertera dalam sejarah. Di Malaysia contohnya, sebut sahaja gejala sosial yang serius, orang Melayu yang mengakui dirinya Muslim akan mendahuluinya samaada dalam pengambilan dadah, mat rempit, vandalisma, keciciran dalam pendidikan, kemiskian dan sebagainya.

Persoalannya, adakah Islam yang diauniti itu punca kepada ini semua? Sudah pastilah sifat Islam sebagai agama wahyu yang maha benar dan sejarah islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan dengan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Akidah yang benar akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kelemahan dan kemunduran. Jika demikian jawapannya, apakah punca yang memyebabkan bangsa Melayu mundur dan sering ketinnggalan?

Bangsa Melayu, sekalipun banyak kelebihan dari sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain seperti rajin bekerja, kuat belajar, bersaing secara positif, dan lain-lain yang ada dalam sejarah bangsa Melayu, tidak benar-benar berakar umbi sehingga sampai ke peringkat warisan budaya. Sedangkan bangsa lain seperti Cina dan barat, mereka yelah mewarisi budaya seperti kesungguhan bekerja, berniaga, tolong menolong dan sebagainya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.

Untuk mengatasi kelemahan ini, orang Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil satu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Islam yang tulen bermaksud melaksanakan sepenuhnya ajaran agama yang lengkap lagi sempurna berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud: "Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. Syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” (surah al-baqarah:208)

Malangnya generasi umat Islam masa kini mengamalkan Islam secara separuh-separuh dan memegangnya secara pinggiran atau tersasar dari panduannya. Maka mereka kehilangan tamdun Islam yang agung sekaligus warisan budaya yang mereka miliki dahulu.

As-syeikh Said Hawa dalam al-Asas fi al-Tafsir berkata. “Allah mewajidkan ke atas umat islam, perkara yang diwajibkan keatas umat terdahulu, menegakkan hukum-hakam al-kitab (alquran). Kita sudah menegakkan sebahagian daripadanya, namun pada masa yang sama kita pinggirkan sebahagian yang lain, lantas Allah swt menimpakan bala ke atas kita berbentuk kehinaan di dunia dan di akhirat nanti azabnya pasti lebih dasyat lagi.”

Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti bangsa kita pada hari ini. Bangsa kita sedang dihanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan. Ditambah lagi, Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam banyak keilmuan, sehinggakan perkara-perkara yang merosakan akidah ramai lagi yang tidak memahaminya.

Sebagai masyarakat pula mencanangkan islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Golongan agamawan hanya diingati jika dikaitkan dengan ustaz, kopiah, kain pelikat, baju Melayu, datang lewat, tidak proaktif, muncul ketika orang nikah atau meninggal dunia dan lain-lain kefahaman yang sempit. Hinggakan sesetengah orang kehairanan jika seseorang ustaz atau ustazah tahu banyak perkara, perkembangan semasa atau perkembangan moden. Maka akhirnya kita kehilangan Islam, tiada juga pusaka nenek monyang Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita. Ramailah pemuda-pemudi kita bangsa Melayu yang tiada cita-cita besar, tiada merasa ketinggian harga diri dan tiada tanggungjawabm akibat tiada jiwa agama.

Supaya dirahmati Allah swt, umat Islam wajib berusaha mendaulatkan Islam sebagaimana yang sudah ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam masyarakat majmuk di Madinah. Apabila umat Islam tidak memuliakan Islam, tidak ada sesiapapun akan memuliakan Islam. Berhubung dengan ini, Amirul Mukminin Umar al-Khattab pernah menyebut sesuatu yang perlu dijiwai oleh setiap orang Melayu muslim dan muslimah: “Allah SWT telah memuliakan kita dengan Islam. Andainya kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, Allah akan meinmpakan kehinaan ke atas kita”


Wallahua’lam


KHAIRUL ANWAR ABU MANSOR @ K.A 0616

Sedia bermuzakarah – Pak Lah

UMNO sedia bermuzakarah dengan Pas bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua parti itu demi kepentingan Islam dan orang Melayu di negara ini. Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, baginya langkah itu amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu. Beliau menegaskan, kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah membabitkan kepentingan bersama.

"Saya terima baik hasrat Pas untuk berunding atau berbincang mengenai apa jua yang saya fikir perlu diwujudkan persefahaman antara kedua-dua parti ini. Langkah ini penting dan baik. Ada banyak isu tidak perlu kita berbalah terutama yang berhubung kait dengan Melayu dan Islam," katanya.

Abdullah sebelum itu ditanya mengenai kesediaan Pas untuk berunding dengan UMNO mengenai kepentingan Islam dan Melayu di negara ini. Perkara itu sebelum ini telah dinyatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengan lidah rasmi parti itu, Harakah minggu lalu.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan, dalam menyampaikan mesej Islam, Pas berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya bulan lalu turut menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan pemimpin utama Melayu terutamanya UMNO bagi membincangkan kepentingan masa depan umat Islam. Abdullah dalam perkembangan sama menjelaskan, jika UMNO dan Pas berjaya membentuk persefahaman, beliau yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada Islam dan Melayu.

"Namun begitu, saya percaya setiap daripada kita memahami apa jua yang perlu kita lakukan untuk kebaikan dan perpaduan Melayu. Juga kita juga harus ambil kira wujudnya rakyat bukan Melayu di negara kita," katanya.

Ditanya sama ada telah wujud gerakan untuk mempertemukan kedua-dua parti itu, beliau berkata, semua pihak perlu bersabar dan berdoa supaya hasrat tersebut tercapai. Difahamkan, langkah Pas itu berikutan beberapa perkembangan politik yang berlaku terutama tindak-tanduk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sering membelakangi Pas dalam membuat keputusan.

Mahasiswa Timur Tengah sokong pertemuan UMNO-Pas

Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah menyokong cadangan pertemuan di antara pemimpin UMNO dan Pas demi kepentingan masyarakat Islam dan orang Melayu negara ini.

Yang Dipertuanya, Ismail Abdul Halim berkata, jika perbincangan yang akan diadakan itu tidak terhad dengan isu-isu politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga harus diberi peluang untuk mengambil bahagian.

''NGO Islam tidak harus diketepikan dalam soal ini kerana ada orang Melayu yang tidak menganggotai Pas, UMNO ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Biarpun tidak melibatkan diri dalam politik, NGO Islam yang ada tetap mengambil berat isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam di negara ini,'' .

Ismail yang juga bekas Pengarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang kesediaan UMNO untuk berunding dengan Pas demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

Perdana Menteri menjelaskan, baginya langkah tersebut amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.

Abdullah menegaskan, kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah yang melibatkan kepentingan bersama.

Tuesday, July 8, 2008

AGONG DIMINTA CAMPUR TANGAN- Hak Bumiputera Semakin Terhakis

Berita dari Dewan Negara:

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta campur tangan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera yang semakin berleluasa sekarang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) membuat saranan itu ekoran tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil kuota biasiswa pelajar-pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Beliau memberitahu, di bawah skim biasiswa JPA yang baru, JPA telah memberikan 700 peruntukan biasiswa untuk pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera.

“Biasiswa JPA kekal sebanyak 2,000 tawaran setahun dan tambahan untuk pelajar bukan bumiputera diambil daripada kuota pelajar bumiputera. Ini menjadikan nisbah pemberian biasiswa JPA itu kini adalah 50 peratus untuk bumiputera, 45 peratus untuk bukan bumiputera dan lima peratus lagi kepada lain-lain kaum,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan: “Perkara ini tidak boleh diterima memandangkan nisbah itu tidak adil kerana jumlah penduduk bumiputera di negara ini adalah 67 peratus dan nisbah tawaran biasiswa JPA dulu ialah 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.”

Menurut Khairy, tindakan mengubah nisbah itu adalah satu langkah yang tidak bijak kerana sepatutnya jumlah tawaran biasiswa itu diperbesarkan agar hak bumiputera tidak diambil manakala penambahan tawaran biasiswa dapat diberikan kepada bukan bumiputera.

“Saya harap perkara ini tidak disalahfahamkan. Saya harap semua pelajar yang cemerlang diberi peluang tanpa mengira mereka pelajar bumiputera atau bukan bumiputera tetapi tambahan tawaran biasiswa itu tidak boleh diambil daripada kuota untuk pelajar bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika berucap membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-9 menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam yang ingin mengerjakan haji terutama bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

Monday, July 7, 2008

Melayu perlu sensitif hak

Ketuanan Melayu tidak akan kekal berterusan jika orang Melayu di negara ini tidak menyedari kewujudan hak mereka serta tidak mengamalkan hidup bersatu padu, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, Ketuanan Melayu perlu diberi perhatian kerana, walaupun prinsip itu semakin menipis, ia (Ketuanan Melayu) masih dianggap relevan dalam memastikan hidup orang Melayu terus terjamin.

Beliau berkata, sewajarnya orang Melayu perlu sedar, memahami dan mempertahankan prinsip itu kerana ia satu asas perjuangan yang perlu disambut bersama-sama dan disokong orang Melayu supaya tidak mudah diperlekehkan pihak lain.

“Sama ada berjaya atau tidak, sebagai kumpulan, ini adalah asas perjuangan kita untuk menyambut, sokong dan sama-sama berdepan dengan pihak yang memperlekehkan soal ini, dengan kuat, berkesan dan cepat... Jangan pada satu masa kelak, hanya Raja yang bercakap mengenai Ketuanan Melayu.

“Pada masa sama, kita mesti bina kemampuan bercakap dan mengartikulasi dengan lantang untuk didengari pelbagai pihak. Justeru, hari ini terserah kepada kita untuk terus mempertahankannya,” katanya pada majlis perasmian Program Opkim Pasir Gudang ‘Kembara Ketuanan Melayu’ anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Balai Rakyat Kampung Desa Perwira di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 100 siswa UiTM, belia dan masyarakat setempat menghadiri program itu.
Sehubungan itu, katanya, bagi mengekalkan Ketuanan Melayu di negara ini, orang Melayu perlu menyedari hak mereka serta menanam sikap bersatu padu.

Mohamed Khaled menjelaskan, orang Melayu perlu mengetahui hak perlu mereka lindungi, termasuk tidak menjadi barang yang boleh dijual beli atau tawar menawar apabila menyentuh mengenai soal keistimewaan Melayu.

Pada masa sama, orang Melayu juga mesti bersatu dan tidak boleh berpecah kerana perpaduan sesama kita adalah senjata utama orang Melayu,” katanya.

Karpal Singh : Lupa Cita-Cita & Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bermesyuarat pada hari ini, menyatakan rasa kesal di atas tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyokong kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey dalam isu campur tangan AS dalam proses perundangan di Negara ini, yang berkaitan dengan kes dakwaan liwat terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Encik Wan Azizi Bin Dato’ Seri Wan Mohamed, menyarankan agar setiap warganegara Malaysia haruslah mendukung, berikrar dan berpegang teguh kepada cita-cita dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang merupakan salah satu asas pembinaan negara bangsa.

Beliau berpendapat bahawa kebelakangan ini ramai pemimpin pembangkang termasuk Karpal Singh, membelakangi asas-asas pembinaan negara bangsa di dalam kenyataan mereka serta menyinggung ramai pihak. Ini termasuklah juga isu sebelum ini, dimana beliau membangkang titah Tuanku Sultan Perak untuk melantik semula Datuk Hj. Jamry Sury sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak.

Beliau juga berkata, “Bagi memastikan perpaduan kaum di Negara ini terpelihara, setiap warganegara hendaklah dari segi perlakuan dan tindak-tanduk mereka tidak mengenepikan keujudan cita-cita serta prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan setiap rakyat di Negara ini”.

Beliau juga menyeru agar prinsip ke lima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, yang menekankan kepada personaliti dan perlakuan seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi juga tidak diketepikan bagi membantu mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni disamping senantiasa memelihara perpaduan kaum di Negara ini.

Sunday, July 6, 2008

HEGEMONI CENDERUNG DIGUNA OLEH PEMERINTAH UNTUK MEMPEROLEH PERSETUJUAN ATAU KEAKURAN DI MASSA. BINCANGKAN.

Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

Hegemoni boleh didefinisikan sebagai dominasi oleh satu kelompok terhadap kelompok lainnya, dengan atau tanpa ancaman kekerasan, sehingga ide-ide yang didiktekan oleh kelompok dominan terhadap kelompok yang didominasi diterima sebagai sesuatu yang wajar. Dapat juga kita simpulkan bahawa dalam hegemoni, kelompok yang mendominasi berhasil mempengaruhi kelompok yang didominasi untuk menerima nilai-nilai moral, politik dan budaya dari kelompok dominan (the ruling party, kelompok yang berkuasa).

Hegemoni diterima sebagai sesuatu yang wajar, sehingga ideologi kelompok dominan dapat menyebar dan dipraktikkan. Nilai-nilai dan ideologi hegemoni ini diperjuangkan dan dipertahankan oleh pihak dominan sedemikian sehingga pihak yang didominasi tetap diam dan taat terhadap kepimpinan kelompok penguasa. Hegemoni biasa dilihat sebagai strategi untuk mempertahankan kekuasaannya. Jika dilihat sebagai strategi, maka konsep hegemoni bukanlah strategi eksklusif milik pemerintah atau penguasa. Oleh yang demikian, kelompok manapun atau sesiapa sahaja yang jadi pemerintah boleh menerapkan konsep hegemoni. Sebagai contoh hegemoni, adalah kekuasaan dollar Amerika terhadap ekonomi global. Kebanyakan transaksi internasional pada hari ini dilakukan dengan dolar Amerika.

Untuk memahami dengan lebih lanjut, kita lihat dulu pembentukan teori hegemoni. Teori atau analisa mengenai hegemoni, diperkekalkan oleh Antonio Gramsci (1891-1937), Analisa Gramsci merupakan usaha pembaikan terhadap konsep determinisme ekonomi dan dialektika sejarah Karl Marx. Dalam dialektika Marx, sistem kapitalisme akan menghasilkan kelas buruh dalam jumlah yang besar dan terjadi resesi ekonomi yang pada akhirnya, akan terjadi revolusi kaum buruh (proletar) yang akan melahirkan sistem sosialisme. Dalam erti kata lain, kapitalisme akan melahirkan sosialiesme. Namun, hal ini tidak akan terjadi.

Gramsci mengeluarkan argument bahawa kegagalan tersebut disebabkan oleh ideologi, nilai, kesedaran diri dan organisasi kaum buruh tenggelam oleh hegemoni pemerintah atau penguasa. Hegemoni ini terjadi melalui media massa, sekolah-sekolah, bahkan melalui ceramah atau dahwah golongan agama, yang melakukan indroktrinasi hingga menimbulkan kesedaran baru bagi kaum buruh. Daripada melakukan revolusi, kaum buruh malah befikir untuk meningkatkan statusnya ke kelas menengah, mampu mengikuti budaya popular dan meniru gaya perilaku atau gaya kelas borjuis. Ini semua adalah ilusi yang diciptakan kaum pemerintah agar kaum yang didominasi kehilangan ideologi serta jatidiri sebagai manusia merdeka.

Di negara-negara Barat, kekuatan kaum borjuasi sudah mencakupi seluruh bidang kehidupan masyakat; ekonomi, sosial, politik, budaya, agama dan lain-lain. Kesatuan kekuatan borjuasi dalam masyakat ini membentuk satu blok ‘blok historis’, yakni suatu konstalasi di mana semua dimensi kehidupan kelas-kelas social dalam masyarakat ini menyatu dan saling mendukung di bawah hegemoni sebuah kelas yakni kelas borjuasi. Inilah alas an mengapa revolusi sosialis pada kenyataannya tidak terjadi. Kelas borjuasi berhasisl menguasai kelas-kelas di bawahnya melalui hegemoni sehingga krisis ekonomi tidak secara langsung melahirkan revolusi, kerana persis krisis ekonomi tidak sekaligus membawaa krisis nilai dalam masyarakat. Kelas borjuasi sebagai pemegang hegemoni blok historis tidak hanya berkuasa dalam bidang ekonomi dengan dokongan daya ancaman Negara, melainkan kerana seluruh masyarakat menganggap situasi kekuasaan itu wajar, hegemoni borjuis ini masuk akal dan boleh dimergerti. Selain itu kerana hadirnya kelompok intelektual yang mendokong kedudukan hegemoni kelas itu mlalui refleksi intelektual-filosofis (Nurul Huda, 2006, Franz Magnis-Suseno, 2003: 188)

Dengan mengambil contoh doktrin Presiden Amerika Syarikat, George W Bush yang dikenal pasti melalui pengeluaran dokumen The Nasional Security Strategy of The United State pada tahun 2002 yang dihasilkan selepas Amerika Syarikat dikejutkan dengan serangan buruk di negaranya iaitu Peristiwa September 11 (Peristiwa 9/11). Peristiwa tersebut telah mengubah pandangan pandangan dan persediaan Washington terhadap ancaman keganasan sehinggakan mereka menyerang Afghanistan dan kemudiannya mengulingkan pemerintahan Saddam Hussein dalam operasi ketenteraan anti-AS yang paling besar dalam sejarahnya dan sekaligus menjejaskan dengan teruk hubungan barat dan umat Islam dan juha hubungan AS-Eropah Pentadbiran Bush yang sering dianggap sebagai mewakili dasar neo-Reaganite telah memperkenalkan doktrin serangan awal (pre-emptive) bagi mengantikan doktrin pembendungan (containment) yang dianggap tidak lagi berkesan dalam menghadapi ancaman terorisme dan Iraq. Jika doktrin pembendungan yang dihasilkan oleh AS pada 1954 bertujuan hanya untuk membendung pengaruh dan kemaraan ideologi komunis, Doktrin Bush telah membawa dimensi baru dalam percaturan dasar luar AS apabila menyatakan hak AS untuk melancarkan serangan awal terhadap negara-negara yang boleh mengancam kepentingan strategiknya (Takiyuddin Ismail, 2007)

Merujuk kepada operasi ketenteraan yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Saddam Hussein di Iraq, kita perlu melihat kepada perspektif Gramsci berkenaan pelaksaan hegemoni di mana beliau berpendapat bahawa kuasa dominasi hegemoni berupaya mempengaruhi persetujuan ijmak. Ianya bukan sahaja sekadar pengaruh fizikal (ketenteraan atau penjajahan tanah), sebaliknya berupaya menggunakan segenap ruang seperti sekatan ekonomi, tekana psikologi dan pemulauan antarabangsa. Dalam hal ini, ada yang berpendaat Amerika Syarikat ialah sebuah kuasa ‘empayar tanpa tanah jajahan’. Ia boleh dilihat melalui kesungguhan Amerika menghapuskan hutang piutang Iraq selepas peperangan memerangi Saddam. Kita boleh melihat bagaimana saranan AS kepada Jepun dan Perancis untuk membantu melangsaikan hutang Iraq. Dalam kes ini kita melihat peripentingnya kuasa hegemoni menstabilkan keamanan dengan mengelakkan sekatan berterusan serta pengaruhnya untuk menstabilkan dunia.

Satu lagi contoh kekuasaan hegemoni dunia ialah kekuasaan Uthmaniah (Ottoman) yang telah diiktiraf oleh pemikir barat sebagai salah sebuah kuasa hegemoni pada satu ketika dulu. Kekuasaan Turki dalam perluasan wilayah, sistem pentadbiran yang unggul serta influensi kebudayaan Islam dan bahawa Arab telah membawa kepada kegemilangan Turki. Ketenteraan kuasa Turki juga telah mengheret empayar ini untuk terlibat dalam peperangan dunia pertama demi menjaga masa depan tanah jajahan Islam. Kita boleh melihat bagaimana kuasa globalisasi Islam lebih awal mempengaruhi bahasa QIbti di Mesir, bahasa Suryani di Syria (Sham), bahasa Spain di Sepanyol, bahasa Afrika serta banyak Negara lain yang menggunakan bahasa Arab sebagai sumber pertuturan mahupun sumber penbendaharaan perkataan.

Jika direnung kembali, idea hegemoni AS terhadap politik antarabangsa bermula selepas kemenangannya memimpin tentera bersekutu dalam Perang Dunia Kedua. Sentimen ini dilanjutkan dengan lebih hebat apabila AS berjaya memenangi Perang Dingin dengan tumbangnya empayar komunisme pada tahun 1989-1991. Tempoh ini menyaksikan dunia mula diuar-uarkan dalam apa yang dipanggil George H.W Bush (1989-1992) sebagai Orde Baru Dunia dan juga penggunaan sistem unipolar seperti yang dihujahkan oleh Krauthammer (1991). Krauthammer mengemukakan persoalan sama ada abad ke-21 akan sekali lagi menjadi abad AS ataupun era Pax Americana dan menganggap hegemoni dinikmati AS. Pada masa yang sama, hegemoni beridelogi yang dikenakan Doktrin Bush mendapat sokongan yang kuat daripada media iaitu satu lagi elemen yang dikaji oleh Gramsci. Media massa seperti majalah Commentary, majalah The Weekly Standard, jurnal The nasional Interest, stesen televisyen Fox, akhbar Wall Street Journal dan Washington Post merupakan nadi terhadap gerakan konservatif dan kerap digunakan untuk mempengaruhi pendapat awam, mempertahankan Israel, menjadi platform idea kebesaran demokrasi dan menjadi suara rasmi pentadbiran Bush (Takiyuddin Ismail, 2007)

Media massa sebenarnya tidak berdiri sendiri, melainkan merupakan sebahagian dari masyarakat. Dalam bahasa teori system social yang terus menerus dikembangkan, fungsi media adalah memungkinkan pengamatan diri masyarakat. Fungsi media sebenarnya bukan ‘merekonstruksikan realiti sosial, dengan erti kata lain, media massa merupakan cermin kebaikan dan keburukan masyarakat, bukan mencerminkan keadaan masyarakat. Perbincangan mengenai media tidak dapat dipisahkan dari kepentingan yang ada di sebalik media tersebut. Di dalam perkembangan media terkini, setidak-tidaknya ada dua kepentingan utama di sebalik media, iaitu kepentingan ekonomi dan kepentingan kekuasaan yang membentuk isi media, informasi yang disajikan dan makna yang ditawarkan. Di antara dua kepentingan utama tersebut, ada kepentingan lebih dasar yang terabai iaitu kepentingan masyarakat. Media seharusnya berperanan sebagai suara masyarakat, namun disebabkan oleh kepentingan-kepentingan di atas, maka media mengabaikan kepentingan masyarakat itu sendiri. Kuatnya kepentingan ekonomi dan kekuasaan politik inilah yang menjadikan media tidak dapat neutral, jujur, adil, objektif dan terbuka. Akibatnya, informasi dan maklumat yang diberikan oleh media telah menimbulkan persoalan pengetahuan yang serius pada media itu sendiri. Kepentingan-kepentingan ekonomi dan kekuasan politik itu sendiri akan menentukan apakah informasi yang disampaikan oleh sesebuah media mengandungi kebenaran atau kebenaran palsu, bersifat neutral atau berpihak, merealisasikan fakta atau menyelewengkan fakta, mengambarkan realiti atau mensimulasikan realiti.

Umum dan masyakat pada umumnya, berada di antara dua kepentingan utama media ini, yang menjadikan mereka sebagai `masyarakat yang diam’ yang tidak mempunyai kekuasaan dalam membangun dan menentukan informasi dalam persekitaran masyarakat itu sendiri. Dalam satu keadaan, ketika persekitaran masyarakat dikuasai ‘politik informasi’ atau `politisasi informasi’ yang menjadikan informasi sebagai alat kekuasaan politik, media menjelma menjadi ‘perpanjangan tangan pengusaha’ dengan menguasai persekitaran masyarakat tersebut. Di pihak lain, ketika ia dikuasai oleh ‘ekonomi-politik informasi’, informasi menjadi alat kepentingan mencari keuntungan yang sebesar-besarnya, dengan cara mengeksploitasikan masyarakat sebagai satu prinsip dasar dari kapitalisme. Perbincangan mengenai politik media atau ‘politisasi media’ tidak dapat dilepaskan dari beberapa konsep dasar idelogi dengan media, terutama konsep hegemoni. Hegemoni dalam pengertian tradisionalnya diertikan sebagai ‘sistem kekuasaan’ atau ‘dominasi politik’. Istilah tersebut dalam tradisi Marxisme diperluas ke arah pengertian hubungan kekuasaan di antara kelas-kelas sosial, khususnya ‘kelas berkuasa’. Nampak di sini, bahawa baik dalam marxisme mahupun tradisi sebelumnya, istilah hegemoni digunakan untuk menjelaskan fenomena kekuasaan politik.

Dalam konteks Malaysia, peranan media arus perdana tidak dinafikan dilihat sebagai suara dan pandangan golongan pemerintah yang dikuasai oleh Barisan Nasional. Masalah penguasaan media oleh golongan pemerintah di Malaysia, bukanlah isu baru malah sebelum peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan dan parti pada tahun 1998 lagi, media arus perdana di Malaysia telah dipengaruhi oleh golongan pemerintah ini. Dengan mengambil satu contoh, isu Sekolah Wawasan yang ditimbulkan oleh Suqiu tidak lama dulu telah dieksploitasikan oleh akhbar Utusan Malaysia dengan tujuan untuk menimbulkan perasaan perkauman sempit melayu terhadap Dong Jiao Zong (DJZ) dan Hua Zong khasnya dan masyarakat Cina amnya. Pada keluaran 7 November 2000 dan 8 November 2000, dua hari berturut-turut di muka depan akhbar Utusan Malaysia melaporkan pandangan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan tentang masalah tersebut secara besar-besaran dengan tajuk-tajuk yang mengemparkan: “PM:didik cara Malaysia” dan “kerajaan tidak akan tunduk”. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) dilaporkan berkata bahawa Dong Jiao Zhong inginkan keseluruhan system pendidikan untuk pelajar di sekolah jenis kebangsaan Cina mestilah sama seperti di Negara China, oleh itu semua pihak termasuk Dong Jiao Zong (DJZ) dan Hua Zong diingatkan system pendidikan Negara China tidak boleh diguna pakai di Negara ini dan Menteri Pendidikan, Tan Sr Musa Mohamed pula menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak termasuk Dong Jiao Zong dan Hua Zong supaya membatalkan pelaksaan konsep Sekolah Wawasan yang ditimbulkan oleh Suqiu sebelum ini, (Lee Ban Chen, 2002). Pengaruh media oleh golongan pemerintah di Malaysia juga antara penyebab utama kemerosotan undi sehingga BN kehilangan majority 2/3 di Dewan Rakyat, malah hilang lima negeri di tangan pakatan pembangkang pada pilihanraya umum ke-12, pada 8 Mac lalu. Kebencian rakyat kepada media kerajaan yang menceroboh hak mereka untuk berikir dan mendapatkan maklumat yang betul menyebabkan ramai yang mendapatkan maklumat dari media alternative seperti laman web dan blog contohnya.

Hegemoni mempunyai kelemahan dan krisisnya yang tersendiri. Mengambil kira idelogi Doktrin Bush, Gramsci telah meramalkan dengan jelas bahawa krisis hegemoni akan tercetus apabila pemerintah mengalami kegagalan dalam sesuatu dasar yang dijalankan secara paksaan. Lebih menarik apabila Gramsci memberikan contoh seperti kegagalam perang yang merupakan hujah utama mengapa reori hegemoni beridelogikan Gramsci seolah-olah memberikan analisi tepat mengenai hegemi beridelogikan Doktrin Bush ini. Pada penghujung penggal pertama pentadbiran bush lagi, ideology neokonservatif sudah mula mendapat tentagan daripada pihak konservatif tradisional khususnya apabila bukti ternyata menunjukkan tiada WMD yang dijumpai di Iraq. Kehadiran noekonservatif dilihat telah mencemar ideology dan pegangan asal konservatif kerana ia bukanlah sesuatu yang konservatif tetapi bersifat radikalisme, egoism dan utopia. Dasar luar Bush juga bertitik tolak daripada kesalahan mentafsir sejarah dan penekanan yang keterlaluan terhadap idea unilateralisme dan ketenteraan (Takiyuddin Ismail, 2007)

Kesimpulannya, dominasi oleh satu kelompok terhadap kelompok lainnya, dengan atau tanpa ancaman kekerasan, sehingga ide-ide yang didiktekan oleh kelompok dominan terhadap kelompok yang didominasi diterima sebagai sesuatu yang wajar. Dapat juga kita simpulkan bahawa dalam hegemoni, kelompok yang mendominasi berhasil mempengaruhi kelompok yang didominasi untuk menerima nilai-nilai moral, politik dan budaya dari kelompok dominan.

PEMUDA JELAJAH NEGARA JELASKAN MUSLIHAT ANWAR IBRAHIM

Pergerakan Pemuda UMNO di setiap peringkat seluruh negara sedang giat bergerak untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai muslihat Anwar yang sering menimbulkan pelbagai helah untuk mengalih perhatian ramai daripada tuduhan liwat ke atas dirinya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pemuda UMNO akan sentiasa berdiri teguh di bawah kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden dalam hal ini dan tidak akan membiarkan Anwar membuat tohmahan, pembohongan dan fitnah sesuka hati. Penarikan balik akuan sumpah Balasubramaniam membuktikan satu lagi pembohongan besar Anwar yang kita lihat cenderung mengamalkan politik fitnah.

“Anwar tergamak lakukan apa saja tanpa memikirkan kepentingan negara dan keharmonian rakyat untuk menyelamatkan dirinya, bermula dari dakwaan diugut bunuh, mendapatkan sokongan kuasa asing dan membuat tuduhan palsu ke atas TPM. Pemuda sama sekali tidak akan berdiam diri dan akan terus membongkar muslihat Anwar. Saya telah arahkan semua pemuda supaya bersiap sedia dan menunggu arahan saya seterusnya. Kita tidak rela membiarkan Anwar sesuka hati menghancurkan imej negara dan mengelirukan rakyat,”.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO akan terus bersatu untuk mempertahankan pucuk pimpinan dan Parti daripada diasak pelbagai pihak. Pemuda UMNO merasakan masanya sudah tiba untuk setiap ahli daripada semua peringkat bersatu menangkis segala usaha jahat pihak tertentu, khususnya Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ternyata mahu menghancurkan Parti kita, memburuk-burukkan pemimpin dan mencemar imej negara yang kita cintai.

Dato’ Hisham selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menyeru semua ahli agar mengetepikan dahulu pertimbangan pemilihan di dalam Parti dan sebaliknya bangkit sebagai satu barisan untuk mempertahankan bangsa, agama, tanah air dan Raja-raja Melayu.

Tidak ada gunanya kita menang merebut jawatan tetapi Parti kita lemah dan sewenang-wenangnya dihancurkan oleh musuh daripada luar.

Tindak tanduk serta muslihat Anwar untuk mengalihkan perhatian ramai daripada tuduhan kes liwat ke atas dirinya membuktikan beliau tidak memperdulikan Negara dan keharmonian rakyat tetapi jelas mahu menghancurkan Malaysia.

“Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri di dalam hal ini. Saya sendiri akan turun ke negeri-negeri bersama Exco-exco Pemuda saya, bermula dengan Johor, tidak lama lagi.
Jelajah ini diharap akan dapat menyuntik semangat Pemuda UMNO di peringkat akar umbi selain mendedahkan pembohongan besar serta muslihat Anwar selama ini,”.

RAKAN MUDA DIPERLUAS KE SEKOLAH: Langkah bersepadu bendung masalah sosial pelajar sekolah

Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (BADGS-GPMS) menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, BADGS-GPMS berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Pengerusi BADGS-GPMS, Mohd Faizal Mohd Salleh berkata, langkah tersebut ibarat `melentur buluh bermula dari rebungnya', di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

BADGS-GPMS memandang serius isu disiplin dan masalah sosial dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama-sama berganding bahu memerangi isu masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar sekolah.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji. Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. BADGS-GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih clan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai¬-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara