Monday, July 7, 2008

Melayu perlu sensitif hak

Ketuanan Melayu tidak akan kekal berterusan jika orang Melayu di negara ini tidak menyedari kewujudan hak mereka serta tidak mengamalkan hidup bersatu padu, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, Ketuanan Melayu perlu diberi perhatian kerana, walaupun prinsip itu semakin menipis, ia (Ketuanan Melayu) masih dianggap relevan dalam memastikan hidup orang Melayu terus terjamin.

Beliau berkata, sewajarnya orang Melayu perlu sedar, memahami dan mempertahankan prinsip itu kerana ia satu asas perjuangan yang perlu disambut bersama-sama dan disokong orang Melayu supaya tidak mudah diperlekehkan pihak lain.

“Sama ada berjaya atau tidak, sebagai kumpulan, ini adalah asas perjuangan kita untuk menyambut, sokong dan sama-sama berdepan dengan pihak yang memperlekehkan soal ini, dengan kuat, berkesan dan cepat... Jangan pada satu masa kelak, hanya Raja yang bercakap mengenai Ketuanan Melayu.

“Pada masa sama, kita mesti bina kemampuan bercakap dan mengartikulasi dengan lantang untuk didengari pelbagai pihak. Justeru, hari ini terserah kepada kita untuk terus mempertahankannya,” katanya pada majlis perasmian Program Opkim Pasir Gudang ‘Kembara Ketuanan Melayu’ anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Balai Rakyat Kampung Desa Perwira di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 100 siswa UiTM, belia dan masyarakat setempat menghadiri program itu.
Sehubungan itu, katanya, bagi mengekalkan Ketuanan Melayu di negara ini, orang Melayu perlu menyedari hak mereka serta menanam sikap bersatu padu.

Mohamed Khaled menjelaskan, orang Melayu perlu mengetahui hak perlu mereka lindungi, termasuk tidak menjadi barang yang boleh dijual beli atau tawar menawar apabila menyentuh mengenai soal keistimewaan Melayu.

Pada masa sama, orang Melayu juga mesti bersatu dan tidak boleh berpecah kerana perpaduan sesama kita adalah senjata utama orang Melayu,” katanya.

No comments: