Monday, July 7, 2008

Karpal Singh : Lupa Cita-Cita & Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bermesyuarat pada hari ini, menyatakan rasa kesal di atas tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyokong kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey dalam isu campur tangan AS dalam proses perundangan di Negara ini, yang berkaitan dengan kes dakwaan liwat terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Encik Wan Azizi Bin Dato’ Seri Wan Mohamed, menyarankan agar setiap warganegara Malaysia haruslah mendukung, berikrar dan berpegang teguh kepada cita-cita dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang merupakan salah satu asas pembinaan negara bangsa.

Beliau berpendapat bahawa kebelakangan ini ramai pemimpin pembangkang termasuk Karpal Singh, membelakangi asas-asas pembinaan negara bangsa di dalam kenyataan mereka serta menyinggung ramai pihak. Ini termasuklah juga isu sebelum ini, dimana beliau membangkang titah Tuanku Sultan Perak untuk melantik semula Datuk Hj. Jamry Sury sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak.

Beliau juga berkata, “Bagi memastikan perpaduan kaum di Negara ini terpelihara, setiap warganegara hendaklah dari segi perlakuan dan tindak-tanduk mereka tidak mengenepikan keujudan cita-cita serta prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan setiap rakyat di Negara ini”.

Beliau juga menyeru agar prinsip ke lima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, yang menekankan kepada personaliti dan perlakuan seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi juga tidak diketepikan bagi membantu mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni disamping senantiasa memelihara perpaduan kaum di Negara ini.

No comments: