Saturday, May 3, 2008

Peralihan sokongan tidak jejas kedaulatan

KEDAULATAN politik Melayu atau 'Malay Polity' di negara ini, tidak tercabar dengan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno seperti yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Kedaulatan politik Melayu akan terus utuh selagi teras pemerintahan negara bertuankan Melayu dan terus mempertahankan Raja Melayu sebagai simbol kerajaan Melayu.

Sehubungan itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata orang Melayu tidak mengira parti politik, perlu terus memastikan keupayaan untuk mempertahankan kekuatan Melayu memerintah negara.

Beliau berkata, pilihan raya umum lalu bukan saja menyaksikan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno malah parti politik lain, termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan orang Melayu hanya mempunyai 124 kerusi Parlimen saja selepas dicampurkan kerusi yang dimiliki Umno, Pas, PKR serta parti dari Sarawak.

“Bilangan ini tidak mencerminkan langsung negara ini sebagai negara yang berteraskan Melayu," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Politik Melayu‘ pada Kongres Permuafakatan Melayu di sini, semalam.

Kongres selama tiga hari yang bertema 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa‘ itu dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Mengulas lanjut mengenai kemerosotan sokongan terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN), Mohammad Agus berkata, orang Melayu sedar Umno adalah parti politik dan mendukung kedaulatan politik Melayu dalam perjuangannya apabila ia ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, perubahan sikap pemimpin Umno pada masa kini, yang sombong dan menjarakkan diri dengan masyarakat selain gagal menangani manifesto pembangkang menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan dengan Umno.

Katanya, walaupun kerajaan mengambil langkah segera dengan mengumumkan pelbagai pakej bagi menarik semula sokongan rakyat, pemimpin perlu sedar bahawa rakyat mahu melihat kesan daripada segala pengumuman bukannya memahami apa yang berlaku, seperti dalam isu kenaikan harga minyak.

“Umno perlu sedar mereka tidak boleh sombong dengan orang Melayu kerana ia hanyalah sebuah parti, boleh datang dan pergi. Pemimpin Umno perlu bertindak segera mengubati parti ini, ia perlu membina semula imejnya, menyusun kembali kaedah pengurusan maklumat dan media yang dikuasainya, memperbetulkan semula kedudukannya supaya sesuai dengan tuntutan semasa rakyat dan mengubah semula strategi menawan hati rakyat,” katanya.

No comments: