Wednesday, May 21, 2008

Jangan pandang rendah ancaman siber

PM kata, setiap kerajaan tidak harus memandang rendah terhadap ancaman siber kerana kesannya boleh membawa mudarat kepada kehidupan manusia. Tambahnya, ancaman siber mampu merosakkan sistem dan infrastruktur sesebuah negara dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian, kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi.

Dengan mengambil contoh negara Estonia iaitu salah sebuah nagara yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Eropah, beliau berkata, pada tahun lepas, negara itu telah mengalami ancaman siber yang serius selama tiga minggu.

‘‘Dalam tempoh tersebut sistem rawatan air negara berkenaan terganggu, sistem bank tergendala dan dalam masa yang sama ancaman (siber) itu juga telah menyerang sistem operasi agensi-agensi kerajaan. Ia berlaku tanpa amaran atau penjelasan. Semakin hebatnya sesebuah negara dalam bidang ICT, semakin mudah sistem itu dirosakkan oleh ancaman siber,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Sedunia, Institut Kerjasama Antarabangsa Pelbagai Hala Membanteras Keganasan Siber (IMPACT).

Berbanding jenayah Internet, kesannya tidak sehebat ancaman siber kerana ia hanya membabitkan ujian identiti dan penipuan kewangan sahaja. Menjelaskan mengenai ancaman siber, Abdullah berkata, perkara tersebut boleh dirancang dan dilakukan dari mana saja di dunia ini.

‘‘Inilah bahayanya ancaman siber. Orang yang melakukannya tidak semestinya berada di negara sasaran. Mereka boleh berada di mana-mana sahaja di dunia ini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap semua anggota IMPACT dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat supaya mereka dapat mencari satu penyelesaian yang berkesan dalam usaha membanteras ancaman siber daripada terus berleluasa.

‘‘Memandangkan jaringan Internet boleh melangkaui sempadan tanpa mengira negara dan negeri hingga menyebabkan dunia terdedah dengan ancaman ini (siber), mahu tidak mahu semua pihak perlu bekerjasama. Tidak kira sama ada pihak kerajaan, swasta, golongan akademik, pakar dan individu, kita perlu berganding bahu melindungi sistem kita daripada terus menerima ancaman siber. Oleh itu, bagi saya persidangan ini amat penting,’’ tambahnya.

Sementara itu Abdullah berkata, sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap penubuhan IMPACT, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$13 juta (RM42.2juta) sebagai geran kepada institusi itu.

‘‘Sebahagian besar geran tersebut akan digunakan untuk membina ibu pejabat sekretariat IMPACT di Cyberjaya yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini,’’ ujarnya

No comments: