Wednesday, September 24, 2008

JANGAN GADAI UNDI- Tun M

Tun Mahathir menasihatkan rakyat supaya tidak 'menjual' undi masing-masing tidak kira sama ada dalam pemilihan parti yang mereka sertai atau pada pilihan raya kecil serta umum. Setiap undi itu tidak ternilai harganya dan hanya pemimpin yang berhak sahaja layak menerimanya.

"Kita harus ingat kalau kita jual undi, percayalah suatu hari nanti orang asing akan menjajah kita semula. Kita akan hilang kuasa untuk memilih kerajaan sendiri. Kalau ada sesiapa yang cuba membeli undi kita, ingatlah harga undi itu tidak dapat ditentukan nilainya kerana melalui undi itulah, yang boleh menyelamatkan diri, bangsa dan agama kita," katanya.

Rakyat sendiri pada akhirnya akan menjadi mangsa jika memberi undi mereka kepada calon yang menggunakan wang bagi meraih kemenangan kerana individu berkenaan bukan daripada kalangan yang boleh dipercayai. Calon yang bersikap sedemikian tentulah daripada kalangan mereka yang tidak disukai ramai disebabkan malas bekerja atau tidak melayani keperluan rakyat sehingga sanggup menyogok wang bagi membeli undi.

"Orang yang macam ini kalau kita sokong, kitalah yang akan menjadi mangsa kerana mereka ini bukan manusia yang boleh dipercayai. Kalau dia sogok wang kepada kita, mungkin dia juga terima wang daripada orang lain. Oleh itu kita dapati wakil kita tidak bebas, sebaliknya dikuasai oleh orang-orang yang memberi wang kepadanya," ujar beliau.

Rakyat negara ini agar mensyukuri nikmat kedamaian dan keamanan yang dikecapi sejak 50 tahun lalu menerusi sistem demokrasi yang diamalkan pentadbiran kerajaan.

Meskipun rakyat hidup dalam suasana berbilang kaum, tiada ketakutan dirasai kerana mereka mengetahui hidup di dalam sebuah negara yang aman. Penduduk harus berusaha mengekalkan keadaan tersebut dengan mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi itu.

1 comment:

viruspadu said...

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, Dari VP, Laloque dan Nisa...

peace! :p