Sunday, October 26, 2008

MENGEMBALIKAN ROH PERJUANGAN UMNO

Oleh : Sahabat-Gunung
www.sahabatgunung9506.blogspot.com

Pada hari ini, parti dan bangsa kita, untuk sekalian kalinya sedang mengharungi arus dan gelombang perubahan yang telah menimbulkan berbagai-bagai ramalan dan spekulasi. Ada orang meramalkan, di dalam dan di luar negara, kononya cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang akan menyebabkan yang retak menjadi belah dan yang genting akan putus. Sebagai jawapan terhadap ramalan dan spekulasi itu, biarlah dengan lantang kita tegaskan di sini, bahawa kita tidak rela melihat parti kita berpecah-belah, kita tidak akan membiarkan yang retak menjadi pecah dan kita tidak akan membiarkan yang genting menjadi putus.

Sebaliknya, dengan semangat carik-carik bulu ayam dan biduk berlalu kiambang bertaut, kita akan mengembalikan perpaduan dan keutuhan parti kita, UMNO. Dan serentak dengan itu, kita akan membuktikan bahawa ramalan-ramalan dan spekulasi negatif tidak akan berlaku. Dengan semangat dan harapan sedemikian itulah maka selagi nyawa dikandung badan, selagi darah terus mengalir, hidup dan mati kita adalah perjuangan atas nama UMNO. Perjuangan kita adalah untuk agama, bangsa dan negara yang tercinta. Ini selaras dengan konsep pengabdian diri seorang hamba kepada Allah Yang Maha Kaya. Ingatlah, perjuangan kita adalah total dan menyeluruh.

Kita berjuang untuk menjamin ketuanan Melayu kekal di tanahair yang merdeka. Kita berjuang untuk memastikan bangsa Melayu terus dihormati dan terus disegani di serata dunia. Dan kita berjuang untuk memastikan bangsa Melayu, tidak akan malu mengakui dirinya Melayu, di bumi tumpah darah tercinta ini. Kepada diri kita masing-masing, marilah kita sama-sama mengingatkan diri kita bahawa kita tidak ada pilihan lain kecuali mengembalikan dan meningkatkan perpaduan demi kemantapan politik dan keutuhan kuasa bangsa Melayu.

Sedarlah...sedarlah...sedarlah, bahawa maju-mundur, kaya miskin dan hina-mulianya bangsa itu terletak di tangan kita sendiri. Jika kita masih tak sedar diri lagi, kita akan dipijak, kita akan ditindas... lihatlah apa yang berlaku pada adik-adik kita di UiTM, lihatlah apa akan jadi setelah kuasa Melayu diganggu-gugat. Hak dan kepentingan kita juga mahu dirampas, kuota di UiTM mahu dirobak-robek, mahu dibuka kepada bukan Bumiputera semata-mata mahu menjaga hati dan perasaan bangsa lain, yang telah memberikan kuasa kepada mereka yang sangat dahagakan kuasa dan pangkat. Apa akan jadi, kepada anak cucu kita di kemudian hari, kalau hari ni baru menang beberapa negeri pun, tempat di mana anak-anak bangsa kita menuntut pun hendak dipergadaikan, apa akan jadi jika kita terus alpa dan lalai mempertahankan maruah dan hak bangsa kita.

Jangan sampai satu hari nanti.... `Itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan’. Watak-watak Melayu dipersendakan dengan Pak Kadok, Pak Pandir, Lebai Malang, Si Luncai dan Mat Jenin. Lalu bangsa Melayu akan menjadi terlalu merendah diri dan hilang keyakinan diri. Sebahagian besar bangsa Melayu akan mengalah dan menerima hukum alam bahawa rezeki secupak tidak mungkin jadi segantang. Bangsa Melayu akan dicemuh sebagai melukut di tepi gantang yang kehadirannya tidak membawa erti. Bangsa Melayu akan digambarkan berdiri tidak sama tinggi, memiliki kail sejengkal yang tidak upaaya mengduga lautan dalam. Negaranya kaya namun hasilnya di kaut orang.

”Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi. Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang .....”

Dengan terbuktinya ramalan-ramalan negatif itu tidak berlaku dan dengan kesedaran perjuangan bangsa tidak akan kita gadaikan, marilah kita bersama-sama menyalakan terus obor cita-cita dan perjuangan serta mengibarkan panji-panji kemenangan. Kepada seluruh bangsa Melayu, marilah kita ingatkan kembali bahawa UMNO adalah dahan teguh tempat berpaut, tanah pejal tempat berpijak. UMNO telah melaksanakan tanggungjawab sejarahnya kepada bangsa Melayu. UMNO akan mara dan terus mara menjunjung dan menatang kedaulatan dan maruah bangsa. UMNO akan mara dan terus mara menjunjung dan menatang keluhuran dan kesucian agama Islam. UMNO akan mara dan terus mara menyalakan terus obor cita-cita dan perjuangan serta mengibarkan panji-panji kemenangan.

Siramilah perjuangan UMNO dengan nilai dan makna yang dapat menyentuh nadi dan hati generasi anak-anak muda di semua peringkat. Perlengkapkanlah diri kita hingga sampai menjadi pemimpin contoh di kalangan generasi muda. Bersuaralah dengan tegas dan berani untuk menjadi juru bicara kepada aspirasi rakyat. Golongan muda dalam UMNO perlu dibimbing dan diasuh dengan akidah, moral, sahsiah, keperibadian, pengetahuan dan kemahiran mereka hingga sampai ke tahap menjadi wira dan srikandi negara, sebagai barisan pelapis negara berwibawa dan unggul untuk meneruskan wawasan dan wadah perjuangan bangsa.

Buktikanlah kesungguhan dan komitmen kepada parti, agama, bangsa dan negara walaupun kita tidak diberikan jawatan di dalam parti mahupun kerajaan. Jika kuat, bantulah yang lemah. Jika kaya, bantulah yang miskin. Jika berilmu, didiklah mereka yang masih cetek pengetahuan. Jika alim, bimbinglah yang jahil. Masa dan ketika untuk kita mengambil alih pimpinan parti di peringkat mana sekalipun, masanya akan sampai. Tidak ada yang kekal di dunia ini. Berpandulah kepada budaya bangsa, naik berjinjang, turun bertangga. Usah dijolok buah di pohon, bila masak gugurlah sendiri.

1 comment:

Demang Lebar Daun said...

Assalamualaikum,

Beri sokongan pada Deklarasi Janda Baik

http://deklarasijandabaik.blogspot.com

Satu usaha memartabatkan para bloggers

Terima kasih.