Monday, June 23, 2008

Melayu Lupa Asal Usul : Titah Raja Muda Perak Jadi Rujukan Sekretariat Pemuda

Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa (SPNB) Pemuda UMNO mengalu-alukan dan bersetuju dengan titah YTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bahawa orang Melayu terutama hari ini telah lupa akan asal usul mereka.

Pengerusi Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Azizi Wan Mohamed berkata, sememangnya terdapat segelintir orang Melayu hari ini seolah-olah telah menidakkan perjuangan bangsa mereka yang telah mempertahankan tanah air ini sejak sebelum merdeka lagi hinggalah ke hari ini.

Atas dasar itu, kita akan meneliti inti pati ucapan Tuanku Raja Muda Perak semasa baginda berucap merasmikan Hari Ucapan & Anugerah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dalam merangka terma-terma serta gerak kerja sekretariat dalam mencari jalan terbaik untuk rujukan kita.

Sekretariat juga bercadang untuk mengadakan satu seminar bagi membincangkan perkara yang di bangkitkan oleh YTM Tuanku Raja Muda dan akan menjunjung Duli untuk YTM Tuanku Raja Muda Perak.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam bertitah, bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda lagi, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

Titah Raja Muda Perak yang menyebut ramai di kalangan rakyat negara ini terutama sekali orang Melayu dari segi perbuatan dan perlakuan mereka seolah-olah seperti kacang lupakan kulit ada kebenarannya.

“Dalam soal ini, kita akan berusaha sebaik mungkin agar perkara seumpama ini tidak akan berlaiu lagi pada masa akan datang terutama di kalangan generasi muda agar mereka terus menjadi benteng yang ampuh untuk mempertahankan kemakmuran negara", ujarnya.

2 comments:

Cheguman said...

Demang Sokong 100%. Sebelum tu bekas KM P.Pinang yang tak tau diuntung tu perlu diambil tindakan tegas. Siapa (dalam BN) yang kalah sebenarnya? UMNO atau MCA/Gerakan/MIC?

"Ratusan tahun dahulu Demang Lebar Daun menyerahkan kuasanya kepada Sang Sapurba yang akhirnya menjadi asas kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kenapa tidak kita lakukannya sekali lagi? Siapa tahu di tanah keramat ini akan tegak kembali sistem khalifah yang akan menerajui sinar gemilang dunia Islam." Tidak cukup hebat ke raja-raja kita sekarang? Insya Allah.

sahabat gunung said...

Assalammualaikum.

Semoga Pemuda UMNO dapat memperkukuhkan azam, memperbulatkan tekad untuk benar-benar ikhlas dalam perjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.