Tuesday, July 8, 2008

AGONG DIMINTA CAMPUR TANGAN- Hak Bumiputera Semakin Terhakis

Berita dari Dewan Negara:

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta campur tangan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera yang semakin berleluasa sekarang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) membuat saranan itu ekoran tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil kuota biasiswa pelajar-pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Beliau memberitahu, di bawah skim biasiswa JPA yang baru, JPA telah memberikan 700 peruntukan biasiswa untuk pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera.

“Biasiswa JPA kekal sebanyak 2,000 tawaran setahun dan tambahan untuk pelajar bukan bumiputera diambil daripada kuota pelajar bumiputera. Ini menjadikan nisbah pemberian biasiswa JPA itu kini adalah 50 peratus untuk bumiputera, 45 peratus untuk bukan bumiputera dan lima peratus lagi kepada lain-lain kaum,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan: “Perkara ini tidak boleh diterima memandangkan nisbah itu tidak adil kerana jumlah penduduk bumiputera di negara ini adalah 67 peratus dan nisbah tawaran biasiswa JPA dulu ialah 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.”

Menurut Khairy, tindakan mengubah nisbah itu adalah satu langkah yang tidak bijak kerana sepatutnya jumlah tawaran biasiswa itu diperbesarkan agar hak bumiputera tidak diambil manakala penambahan tawaran biasiswa dapat diberikan kepada bukan bumiputera.

“Saya harap perkara ini tidak disalahfahamkan. Saya harap semua pelajar yang cemerlang diberi peluang tanpa mengira mereka pelajar bumiputera atau bukan bumiputera tetapi tambahan tawaran biasiswa itu tidak boleh diambil daripada kuota untuk pelajar bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika berucap membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-9 menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam yang ingin mengerjakan haji terutama bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

1 comment:

MELAYU DI PERSIMPANGAN said...

KEPENTINGAN PELAJAR BUMIPUTERA DIAMBIL KIRA

Kerajaan telah mengambil kira kepentingan pelajar bumiputera secara menyeluruh sebelum meningkatkan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan bumiputera.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berkata, kerisauan masyarakat bumiputera mengenai perkara itu mungkin berpunca daripada anggapan bahawa JPA adalah penyedia tunggal biasiswa untuk pelajar bumiputera.

Menurutnya, masih terdapat beberapa institusi lain yang turut memberikan biasiswa kepada pelajar bumiputera.

"Usah terlalu risau kerana kepentingan pelajar bumiputera telah diambil kira oleh kerajaan secara menyeluruh. Penajaan pelajar bumiputera bukan sahaja daripada JPA, institusi-institusi lain turut menyediakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kuota baru biasiswa JPA yang menyaksikan nisbah biasiswa untuk pelajar bumiputera berkurangan secara mendadak kepada 55 bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera berbanding nisbah 90:10 sebelum ini.

Bantahan itu timbul ekoran kenyataan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat Isnin lalu yang mempersoalkan tindakan JPA yang mengambil kuota biasiswa pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurut Khairy, nisbah pemberian biasiswa kerajaan untuk pelajar bumiputera dan bukan bumiputera adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Seri Paduka mempunyai budi bicara untuk menentukan nisbahnya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, jumlah penawaran biasiswa JPA sebanyak 2,000 setahun juga tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan biasiswa yang disediakan institusi lain. Namun, beliau menegaskan adalah tidak wajar baginya untuk mendedahkan nilai keseluruhan biasiswa itu.