Tuesday, July 15, 2008

Sedia bermuzakarah – Pak Lah

UMNO sedia bermuzakarah dengan Pas bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua parti itu demi kepentingan Islam dan orang Melayu di negara ini. Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, baginya langkah itu amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu. Beliau menegaskan, kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah membabitkan kepentingan bersama.

"Saya terima baik hasrat Pas untuk berunding atau berbincang mengenai apa jua yang saya fikir perlu diwujudkan persefahaman antara kedua-dua parti ini. Langkah ini penting dan baik. Ada banyak isu tidak perlu kita berbalah terutama yang berhubung kait dengan Melayu dan Islam," katanya.

Abdullah sebelum itu ditanya mengenai kesediaan Pas untuk berunding dengan UMNO mengenai kepentingan Islam dan Melayu di negara ini. Perkara itu sebelum ini telah dinyatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengan lidah rasmi parti itu, Harakah minggu lalu.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan, dalam menyampaikan mesej Islam, Pas berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya bulan lalu turut menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan pemimpin utama Melayu terutamanya UMNO bagi membincangkan kepentingan masa depan umat Islam. Abdullah dalam perkembangan sama menjelaskan, jika UMNO dan Pas berjaya membentuk persefahaman, beliau yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada Islam dan Melayu.

"Namun begitu, saya percaya setiap daripada kita memahami apa jua yang perlu kita lakukan untuk kebaikan dan perpaduan Melayu. Juga kita juga harus ambil kira wujudnya rakyat bukan Melayu di negara kita," katanya.

Ditanya sama ada telah wujud gerakan untuk mempertemukan kedua-dua parti itu, beliau berkata, semua pihak perlu bersabar dan berdoa supaya hasrat tersebut tercapai. Difahamkan, langkah Pas itu berikutan beberapa perkembangan politik yang berlaku terutama tindak-tanduk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sering membelakangi Pas dalam membuat keputusan.

1 comment:

Bani Tanjong said...

Salam...Alangkah baiknya keduanya bermuzakarah. Islam dan Melayu adalah satu dan teman bimbang semua ini akan sendaloka pihak pembangkang. Walaupun Sultan Perak melalui Mufti Perak berpesan agar PAS Perak dan UMNO Perak bergabung demi Ketuanan Melayu Perak daripada tergadai kpd cina al-kafiri namun Pesuruhjaya PAS Perak Ust. Awang Muhamad menyelar tidak mahu bersama bergabung dgn Islam UMNO yang ZALIM dan lebih baik bergabung dengan KAFIR HARBI...inilah tanda2 PAS lebih pentingkan hala tuju politik daripada kepentingan bangsa MELAYU..

Banihakim.blogspot.com