Wednesday, April 23, 2008

Mungkin Kah Choon Bermain Sandiwara?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, tindakan Datuk Lee Kah Choon menerima jawatan Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif InvestPenang, bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, Kah Choon tidak boleh menerima kedua-dua jawatan yang ditawarkan kerajaan negeri itu sebelum merujuk kepada Gerakan.

Tambahnya, bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan itu perlu mendapat pandangan dan keputusan parti mengenai tawaran itu.

Dalam masa yang sama, Bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan itu berkata, beliau sedia menerima sebarang kritikan berikutan persetujuannya menerima pelantikan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi InvestPenang dalam kerajaan negeri yang diterajui DAP.

Katanya, beliau menunggu tindakan daripada pucuk pimpinan Gerakan berhubung kedudukannya dalam parti selepas menerima tawaran memegang kedua-dua jawatan itu daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kerja saya dalam InvestPenang tidak ada kaitan dengan politik dan tak semestinya saya dalam InvestPenang saya kena berundur daripada parti.”

Kalau dilihat dari scenario ini, mungkinkah Kah Choon akan menyertai DAP dalam masa yang terdekat ini? Atau Kah Choon sebenarnya cuba bermain sandiwara – demi mencari publisiti politik demi untuk kepentingan peribadi?

2 comments:

anwarjauhari said...

“Kerja saya dalam InvestPenang tidak ada kaitan dengan politik dan tak semestinya saya dalam InvestPenang saya kena berundur daripada parti.”

ayat tu beri impak yang besar...

Black-40 said...

Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Lee Kah Choon hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu ekoran keputusannya menerima dua jawatan utama dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan invest-Penang Berhad.

Kah Choon dalam satu kenyataan berkata, beliau menyerahkan surat penarikan diri daripada menjadi ahli Gerakan kerana keputusannya menyertai PDC dan invest-Penang yang kini terletak di bawah kerajaan negeri DAP-PKR tidak diterima oleh pucuk pimpinan Gerakan.

Dengan keluar parti, katanya, beliau boleh memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kritikan terhadap kemampuan saya untuk menjawat dua jawatan ini adalah tidak benar kerana rekod perkhidmatan saya sebelum ini telah membuktikan sebaliknya,” kata beliau.

Kah Choon berkata demikian sebagai mengulas tindakan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gerakan yang mahu beliau memberi sebab kenapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya kerana menerima dua jawatan itu.

Tindakan beliau menerima tawaran kerajaan pakatan DAP dan PKR di Pulau Pinang melanggar prinsip dan arahan parti, kata pucuk pimpinan Gerakan. Kontroversi itu turut mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat BN.